Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 36 | Soalan | Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik [ Balik Pulau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan dalam konteks kawasan sensitif alam sekitar seperti Balik Pulau, apakah mekanisme Kementerian untuk memastikan projek pembangunan tidak menjejaskan kawasan tadahan air, pertanian dan biodiversiti, serta sejauh mana penilaian impak alam sekitar (EIA) dikuatkuasakan secara telus.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited untuk memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan adalah secara terkawal dan tidak menjejaskan alam sekitar.
Mekanisme penting yang dilaksanakan oleh Kementerian dalam mengawal kelestarian alam sekitar dan mengimbangkan aktiviti pembangunan, terutamanya di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) adalah dengan menetapkan keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Penyediaan laporan kajian EIA merupakan satu keperluan perundangan yang termaktub di bawah Seksyen 34A (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi cadangan aktiviti pembangunan yang disenaraikan sebagai Aktiviti Yang Ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar) 2015.
Namun begitu, kelulusan Laporan EIA bukan merupakan kelulusan untuk projek pembangunan itu sendiri, tetapi hanya pengesahan bahawa laporan tersebut telah mengkaji dan memenuhi keperluan alam sekitar sebagaimana yang telah ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pihak Berkuasa Meluluskan (contohnya pihak Kerajaan Negeri) sewajarnya melaksanakan pertimbangan secara terperinci bagi setiap projek pembangunan yang dirancang bagi memastikan kelestarian alam sekitar Negara terjamin.
Tanggungjawab untuk menjaga keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar di KSAS ini tidak tertakluk dengan kuasa pihak sahaja. Kawalan ini memerlukan pendekatan bersepadu dan kolaboratif yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain pemegang taruh.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|