Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [ Simpang Renggam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan strategi penyelarasan antara DPIN 2.0 dan NETR dalam menarik pelaburan hijau serta penggunaan semula dana Carbon Tax untuk adaptasi bencana tempatan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Dasar Perubahan Iklim 2.0 (DPIN 2.0) merupakan versi kedua dasar perubahan iklim Malaysia yang dirangka bagi menangani cabaran baharu di peringkat domestik serta obligasi negara di bawah Perjanjian Paris yang telah diratifikasi negara pada 16 November 2016.
DPIN 2.0 yang telah diluluskan Kerajaan pada 25 September 2024, menetapkan hala tuju dan rangka kerja bagi membolehkan Malaysia beralih ke arah ekonomi rendah karbon dan pembangunan berdaya tahan iklim. Melalui strategi dan tindakan yang digariskan di bawah DPIN 2.0, komitmen dan obligasi negara di bawah Perjanjian Paris dapat dilaksanakan dengan efektif.
DPIN 2.0 juga bertindak sebagai panduan kepada agensi Kerajaan serta pihak lain dalam memastikan tindakan yang diambil serta dasar yang digubal turut mengambil kira unsur perubahan iklim.
Oleh yang demikian, DPIN 2.0 berfungsi sebagai kerangka tadbir urus iklim secara menyeluruh, manakala Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bertindak sebagai pelan tindakan sektoral yang khusus untuk sektor tenaga bagi membolehkan sektor ini beralih ke arah yang lebih berdaya mampan. Sehubungan dengan itu, DPIN 2.0 dan NETR adalah dua instrumen dasar yang saling melengkapi dalam agenda kelestarian Negara.
NETR yang diterajui Kementerian Ekonomi telah menggariskan komitmen sektor tenaga negara untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu sebanyak 40% menjelang 2030 dan sebanyak 70% menjelang 2050. Selain itu, NETR memfokuskan kepada enam (6) bidang teknikal yang akan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi hijau iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, hidrogen, biotenaga, mobility hijau dan perangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS). NETR ini akan dilaksanakan melalui dua (2) fasa utama yang menggabungkan projek fizikal dan kerangka dasar.
Fasa pertama ialah peluncuran projek pemangkin untuk mengenal pasti 10 projek rintis yang melibatkan pelabuhan besar (seperti Loji Solar Hibrid 1GW dan pemanduan EV), yang mana fasa ini menyasarkan peluang pelaburan melebihi RM25 bilion. Fasa kedua pula ialah hala tuju makro iaitu menetapkan sasaran nasional yang lebih luas, termasuk pelan pemberhentian tugas loji arang batu secara berperingkat (sepenuhnya menjelang 2044) dan pengukuhan grid nasional.
Dari aspek menarik pelaburan hijau, DPIN 2.0 akan berfungsi sebagai dasar yang menetapkan hala tuju makro negara terhadap perubahan iklim, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). NETR pula bertindak sebagai enjin pelaksanaan, di mana NETR menterjemahkan aspirasi DPIN 2.0 kepada 10 projek rintis yang dijangka bakal menarik pelaburan bernilai lebih daripada RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak lebih 10,000 Gg CO2eq setahun.
YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Tahun 2026 telah mengumumkan Cukai Karbon akan diperkenalkan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga. Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, mekanisme cukai karbon ini akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.
Buat masa ini, NRES akan membantu MOF dari sudut penetapan isu teknikal bagi membolehkan laporan inventori gas rumah kaca yang merupakan asas kepada pengenaan cukai karbon dapat dibuat oleh pihak industri. Selain itu, NRES dan MOF juga akan bekerjasama dalam membuat penentuan ambang pelepasan untuk menentukan pemakaian cukai karbon kepada pihak industri yang terlibat.
Untuk penggunaan semula hasil kutipan cukai karbon bagi tujuan adaptasi bencana tempatan, perkara ini terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara MOF memandangkan hasil cukai negara akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan. Berdasarkan ucapan YAB Perdana Menteri, hasil daripada cukai karbon ini akan dimanfaat untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau. Walau bagaimanapun, Kerajaan melalui entiti yang akan ditubuhkan bagi mengawal selia RUUPIN dijangka akan mentadbir urus satu dana yang akan digunakan bagi membiayai tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|