Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 30 | Soalan | Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [ Pekan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bilangan jumlah sungai yang tercemar dan usaha proaktif Kerajaan dalam memastikan sungai tidak terus tercemar serta apakah tindakan segera Kementerian termasuk strategi jangka masa panjang untuk mengatasi masalah pencemaran sungai.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2025, sebanyak 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai telah dipantau di Negara ini oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Monitoring Program, EQMP). Program pengawasan kualiti air sungai dilaksanakan secara manual dengan kekerapan persampelan bagi setiap stesen pengawasan dijalankan adalah sebanyak enam (6) kali setahun. Selain itu terdapat juga 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang bertujuan untuk memantau kualiti air sungai di hulu takat pengambilan air di sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air.
Daripada 672 sungai yang dipantau sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 468 sungai (70%) sungai dikategorikan sebagai bersih, 171 (25%) sungai dikategorikan sebagai sederhana tercemar dan 33 (5%) dikategorikan sebagai tercemar. Secara keseluruhannya, 33 sungai tercemar yang direkodkan pada tahun 2025 adalah di dalam Kelas III hingga IV. Tiada Kelas V direkodkan pada tahun 2025.
Isu pencemaran sungai di Negara ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya melibatkan sektor industri tetapi juga melibatkan sektor lain seperti penternakan, pertanian, perbandaran, perlombongan dan komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang tidak sempurna. Di samping itu, aktiviti lain seperti air limbahan daripada pasar basah, restoran atau kedai makan, dobi serta pusat cucian kereta yang dilepaskan tanpa rawatan juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.
Dalam hal ini, antara tindakan segera dan strategi jangka masa panjang yang diambil oleh Kementerian melalui JAS bagi mengatasi masalah pencemaran sungai adalah:
Tindakan Segera: Pemerkasaan perundangan alam sekitar; Meningkatkan operasi bersepadu; Mengukuhkan kerjasama di semua peringkat; Melaksanakan penguatkuasaan pintar; Penguatkuasaan secara bersasar; Mengoptimumkan perkongsian data; dan Memperluas sistem amaran awal.
Strategi Jangka Panjang Semakan terhadap peraturan-peraturan bagi kawalan pencemaran air; Memperkasa Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP); Semakan terhadap standard air; dan Memperluas pengawasan kualiti air sungai.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|