Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

22

Soalan

Tuan Lee Chuan How [ Ipoh Timor ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status terkini kerjasama mineral kritikal antara Malaysia dengan negara-negara Kesatuan Eropah khususnya Perancis dan Belgium serta syarikat-syarikatnya yang mempunyai teknologi pengasingan nadir bumi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia sedang giat meneroka dan menilai potensi kerjasama strategik dengan negara-negara serta syarikat antarabangsa yang mempunyai kepakaran dan teknologi maju dalam pembangunan mineral kritikal, khususnya industri unsur nadir bumi (Rare Earth Elements, REE). Kerjasama yang diperlukan oleh negara adalah pada keseluruhan peringkat rantaian nilai, khususnya bagi aktiviti pemprosesan dan pengasingan elemen nadir bumi yang bernilai tinggi serta berteknologi tinggi.


  1. Sehubungan itu, Kerajaan mengambil pendekatan mengenal pasti potensi kerjasama dengan rakan antarabangsa, termasuk negara-negara Kesatuan Eropah seperti Perancis dan Belgium, yang mempunyai keupayaan teknologi, pengalaman industri dan rangka kerja kawal selia yang matang dalam pembangunan industri REE. Pada masa ini, potensi kerjasama tersebut masih berada pada peringkat awal, melibatkan proses pengumpulan maklumat, pertukaran pengetahuan serta perbincangan teknikal dan dasar bagi memahami dengan lebih mendalam skop, bentuk dan nilai tambah kerjasama yang boleh diwujudkan secara saling menguntungkan.


  1. Kerajaan juga menegaskan bahawa sebarang cadangan atau inisiatif kerjasama dalam sektor mineral kritikal akan dinilai secara menyeluruh dan berhati-hati. Penilaian ini akan mengambil kira keselarasan dengan dasar dan perancangan sedia ada Kerajaan Persekutuan, kepentingan strategik negara dari sudut keselamatan bekalan mineral kritikal, pemindahan teknologi, pembangunan modal insan tempatan serta peluang peningkatan nilai ekonomi dalam rantaian bekalan domestik.


  1. Di samping itu, Kerajaan memberi perhatian serius terhadap kepentingan pihak Kerajaan Negeri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan hal ehwal tanah termasuk mineral di bawah bidang kuasa Negeri. Justeru, sebarang bentuk kerjasama akan dirangka secara inklusif melalui libat urus yang berterusan dengan pihak Negeri bagi memastikan pelaksanaan projek atau inisiatif berkaitan REE dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mematuhi peraturan yang berkuatkuasa.


  1. Secara keseluruhannya, Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan industri REE dan mineral kritikal negara dilaksanakan secara mampan, berdaya saing dan bertanggungjawab, serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.


Sekian, terima kasih.



Attachments