Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 January 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

17

Soalan

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [ Merbok ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan punca utama pemusnahan hutan paya bakau di seluruh negara sama ada pembangunan hartanah pesisir, akuakultur, industri, penebangan haram atau projek Kerajaan dan apakah peratusan kemusnahan bagi setiap sektor tersebut.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kekal komited dalam memperkukuh agenda pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya dalam memperhebat usaha konservasi ekosistem hutan paya laut. Langkah ini adalah sejajar dengan keperluan mendepani cabaran landskap global yang semakin kompleks termasuk perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, ancaman hakisan pantai dan kehilangan kawasan hutan paya laut.


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini, Malaysia mempunyai kawasan hutan paya laut seluas 586,548 hektar, iaitu 3.26 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh negara. Keluasan kawasan hutan paya laut telah berkurang berbanding 629,038 hektar yang direkodkan pada tahun 2017. 


  1. Secara umumnya, punca kehilangan litupan hutan paya bakau adalah disebabkan oleh faktor semulajadi seperti hakisan serta penukaran guna tanah bagi tujuan pembangunan infrastruktur pesisir pantai, aktiviti akuakultur dan pertanian. Walau bagaimanapun, peratusan kemusnahan mengikut sektor berubah-ubah mengikut negeri dan memerlukan perincian data guna tanah dari Pihak Berkuasa Negeri.


  1. Dalam masa yang sama, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menyediakan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) pada tahun 2022 yang menggariskan panduan, tindakan perancangan strategik dan halatuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber jaya persisiran pantai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. 


  1. RFZPPN-2 ini turut mengambil kira keperluan dan kepentingan untuk memelihara dan memulihara kawasan yang mempunyai biodiversiti tinggi seperti hutan paya laut dan dataran rumput laut di sepanjang persisiran pantai negara dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.


  1. Kementerian juga melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut melaksanakan kawalan ketat yang mana sebarang pembangunan di kawasan hutan paya bakau yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kepentingan awam yang mendesak dan tertakluk kepada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).


  1. Sebagai langkah pemulihan, Kerajaan sedang giat melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara. Sehingga kini, seluas lebih 3,800 hektar kawasan pesisiran pantai telah berjaya dipulihkan dengan penanaman lebih 9 juta pokok.


Sekian, terima kasih.



Attachments