Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 January 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 1 | Soalan | Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias [ Jelebu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana keberkesanan sistem amaran awal (Early Warning System) dalam memberi makluman secara pantas dan menyeluruh berkaitan ancaman bencana terutamanya di kawasan luar bandar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa memperkukuh keberkesanan Sistem Amaran Awal (Early Warning System - EWS) bencana berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami bagi memastikan makluman ancaman bencana dapat disampaikan secara pantas, tepat dan menyeluruh, termasuk kepada komuniti di kawasan luar bandar.
Bagi menaik taraf Sistem Amaran Awal Cuaca, Kerajaan telah memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak dua ratus empat puluh dua juta Ringgit Malaysia (RM242 juta) yang merangkumi pelaksanaan beberapa projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca. Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak lapan belas juta Ringgit Malaysia (RM18 juta) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM).
Dari segi pengukuhan sistem pencerapan dan ramalan, MET Malaysia terus memperkukuh keupayaan ramalan cuaca melalui penambahbaikan Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan berangka bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata. Pada masa yang sama, sistem Numerical Weather Prediction (NWP) turut dipertingkat dengan penggunaan teknologi High Performance Computing (HPC) terkini serta penerapan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik data raya.
Pengukuhan ini membolehkan penjanaan ramalan cuaca sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi yang lebih tinggi, iaitu 300 meter berbanding 1 kilometer sebelum ini. Keupayaan ini membolehkan perincian corak cuaca di kawasan berisiko tinggi dikenal pasti dengan lebih awal, tepat dan bersasar, termasuk di kawasan luar bandar.
Bagi memastikan penyampaian maklumat amaran yang pantas, tepat dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar dan kawasan berisiko, MET Malaysia terus memperkukuh sistem penyampaian maklumat melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS), aplikasi myCuaca, laman sesawang MET Malaysia, media sosial, siaran radio dan televisyen, serta kerjasama strategik bersama NADMA, pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Seiring komitmen berterusan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara, bermula tahun 2026, MET Malaysia menyasarkan untuk mempercepatkan tempoh hebahan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami daripada 8 minit kepada 6 minit selepas kejadian dikesan, di samping meningkatkan ketepatan ramalan cuaca daripada lapan puluh dua peratus (82%) kepada lapan puluh lima peratus (85%).
Seterusnya untuk usaha kesiapsiagaan dan tindak balas, MET Malaysia mengoperasikan sistem amaran awal secara berterusan 24 jam sehari, 7 hari seminggu bagi memastikan pengesanan awal, pengeluaran amaran tepat pada masanya serta penyelarasan berterusan dengan agensi pengurusan bencana peringkat negara dan juga negeri.
Kesemua inisiatif ini membuktikan bahawa MET Malaysia bukan sahaja mengukuhkan rangkaian pengesanan dan ramalan bencana cuaca, gempa bumi dan tsunami, tetapi juga meningkatkan keberkesanan EWS dalam memberi makluman yang cepat, tepat, dan menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|