Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 17 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 61 | Soalan | Senator Tuan Michael Mujah Lihan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan persediaan bagi menghadapi kejadian gempa bumi terutamanya bagi kawasan yang tidak pernah mengalaminya, dan adakah gempa bumi jarak jauh seperti yang berlaku di Myanmar, Indonesia dan Filipina boleh memberi kesan kepada Malaysia.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara kita tetap terdedah kepada gegaran akibat gempa bumi besar di negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Myanmar terutama di kawasan zon-zon sesar yang wujud di seluruh Malaysia terutama di Sabah, Sarawak serta kawasan Pantai Barat Semenanjung, dan dalam keadaan tertentu menjadi pencetus kepada tsunami. Impak gegaran akibat gempa bumi jarak jauh banyak dipengaruhi oleh jenis bahan geologi yang terdapat di sesuatu kawasan.
Kejadian gempa bumi juga boleh berlaku apabila tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar-sesar kuno mengalami proses pelarasan bagi menstabilkan semula kerak bumi, seperti yang berlaku di Muar dan Segamat. Walaubagaimapun, gempa bumi tidak boleh diramalkan, manakala kejadian tsunami boleh diramalkan selepas berlaku gempa bumi di dasar laut. Sehingga kini, tidak ada teknologi yang mampu untuk meramalkan kejadian gempa bumi sebelum ianya berlaku.
Justeru, bagi meningkatkan kesiapsagaan dalam menghadapi gempa bumi, Kementerian menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah melaksanakan inisiatif sebagai persediaan menghadapi gempa bumi sebagaimana berikut:
MET Malaysia melaksanakan pemantauan berterusan gempa bumi serta pengeluaran amaran awal tsunami melalui Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, dikendalikan oleh Pusat Operasi Gempa Bumi dan Tsunami Nasional. Maklumat gempa dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh 8 minit selepas pengesanan.
MET Malaysia turut mengoperasikan 80 buah stesen seismik di seluruh negara dan data dihantar secara masa nyata, selain menerima data seismik masa nyata daripada 323 stesen antarabangsa.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan 1 (RMKe-13 RP1), MET Malaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 yang melibatkan pengukuhan dua belas (12) buah stesen seismik di seluruh negara, pembinaan dua (2) stesen seismik baharu di Segamat dan Muar, Johor serta naiktaraf empat (4) stesen seismik di Johor.
MET Malaysia juga sedang melaksanakan peningkatan keupayaan Sistem Pengesanan dan Pemprosesan Data SeisComP, dengan penekanan kepada modul pengesanan gempa bumi tempatan supaya kejadian gempa bumi berskala kecil dapat dikesan dengan lebih cepat dan tepat.
JMG turut menjalankan pemantauan ke atas 53 Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) yang telah dibina di kawasan zon sesar di seluruh negara dan merupakan rujukan penting dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik dan pemetaan sesar
. Selain MetMalaysia dan JMG, agensi lain seperti NADMA, JKR, PDRM dan APM turut mempunyai peranan dalam kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan. Latihan simulasi dan program kesedaran awam juga dijalankan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat.
Secara keseluruhannya, tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi risiko gempa bumi berada pada tahap yang baik, hasil gabungan sistem pemantauan teknikal yang mantap, kerjasama agensi yang kukuh, sokongan infrastruktur yang berterusan serta penglibatan masyarakat. Kerajaan akan terus mempertingkatkan keupayaan pemantauan, kefahaman awam dan keberkesanan tindak balas bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|