Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 17 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 46 | Soalan | Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sama ada Kerajaan bercadang untuk menggubal rangka kerja perkongsian manfaat atau perjanjian kerjasama Persekutuan-Negeri bagi menyelaras pelesenan dan hasil kredit karbon, serta memastikan komuniti Orang Asli dan Orang Asal tidak dipinggirkan dalam projek karbon.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Pembangunan sesebuah projek karbon adalah tertakluk dan dipengaruhi oleh piawaian karbon (Carbon Standard) dan metodologi yang dipilih berdasarkan kepada aktiviti yang ingin dilaksanakan di lapangan. Sebagai contoh, setiap piawaian karbon seperti Verra, Gold Standard serta instrumen Forest Carbon Offset yang sedang dibangunkan oleh Kementerian ini, menetapkan keperluan serta pra-syarat Free, Prior Informed Consent (FPIC) melalui sesi libat urus dan penerangan kepada komuniti setempat bagi sesuatu projek karbon (terutamanya projek karbon hutan).
Selain daripada itu, sesetengah metodologi di bawah piawaian karbon ini turut menetapkan keperluan bagi rangka kerja perkongsian manfaat serta keperluan untuk menyatakan bagaimana hasil yang dijanakan dari sesuatu projek karbon dapat menyumbang kepada sosio-ekonomi komuniti yang tinggal atau berada berdekatan serta di dalam kawasan projek karbon hutan.
Kerajaan Persekutuan tidak berhasrat untuk mengawal selia ekosistem pasaran karbon sukarela serta piawaian karbon antarabangsa sedia ada dan tidak bercadang untuk menggubal kerangka perundangan untuk mengawal selia perkongsian manfaat atau perjanjian kerjasama di antara Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Pada masa ini, beberapa kerajaan negeri seperti Sabah dan Sarawak telah menggubal dan menguatkuasakan perundangan di peringkat negeri untuk mengawal selia dan menguruskan projek karbon yang dibangunkan di negeri masing-masing.
Namun begitu, Kementerian akan sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa mana-mana pihak, sama ada kerajaan negeri, pihak berkepentingan yang terlibat dalam pembangunan projek karbon serta komuniti setempat seperti Orang Asli dan Orang Asal adalah tertakluk kerangka perundangan, dasar dan spesifikasi yang ditetapkan di bawah piawaian karbon . Pemakaian mekanisma pertikaian (Dispute Settlement Mechanism), keperluan ketelusan (transparency) di dalam pembangunan, pelaksanaan dan perkongsian manfaat adalah komponen kritikal yang perlu dipatuhi dan boleh mempengaruhi sentimen serta penerimaan pasaran kepada kredit karbon yang dijana melalui projek karbon tersebut.
Bagi memastikan ekosistem pasaran karbon yang kukuh dan penjanaan kredit karbon yang berintegriti tinggi dari projek karbon yang dibangunkan di Malaysia, Kementerian ini juga sedang memuktamadkan dua (2) kerangka dasar dan perundangan pada masa ini iaitu Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) dan Rang Undang-undang Perubahan Iklim (RUUPIN). Melalui kerangka dasar dan perundangan ini kelak, Kementerian berhasrat agar pasaran karbon dan pembangunan projek karbon dapat menyumbang hasil baharu kepada kerajaan negeri, persekutuan dan memberi manfaat kepada komuniti serta pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung kepada inisiatif pengurusan dan pemuliharaan hutan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|