Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 17 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 19 | Soalan | Senator Dato' Wu Him Ven minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan Kadar pematuhan syarikat pembalakan terhadap syarat penanaman semula di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 :-
berapa banyak tindakan yang diambil terhadap syarikat yang gagal melaksanakan reforestasi selepas aktiviti pembalakan; dan
nyatakan negeri manakah yang mempunyai kadar pematuhan penanaman semula paling rendah.
| Jawapan |
Tuan Yang di-Pertua, Soalan (a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan komited dalam melaksanakan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) untuk memastikan negara terus menikmati segala faedah yang diperolehi daripada sumber hutan secara berterusan selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia.
Selain pelaksanaan PHSB, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri turut memantau projek pembangunan ladang hutan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia yang merupakan antara inisiatif untuk memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan bagi pertumbuhan industri perkayuan terus berdaya saing di negara ini.
Penubuhan ladang hutan bukan sahaja sebagai satu usaha untuk mendapatkan bekalan kayu yang berterusan, malah untuk menggantikan kawasan hutan terosot kepada kawasan yang lebih produktif dengan menanam pokok-pokok spesies tempatan atau eksotik yang mempunyai kadar tumbesaran yang cepat dan bermutu tinggi.
Bagi tujuan pemuliharaan hutan, aktiviti pengusahasilan hutan di kawasan pembangunan ladang hutan dijalankan secara berfasa mengikut blok. Pembukaan kawasan pengusahasilan blok seterusnya hanya akan dibenarkan selepas semakan di lapangan dan penanaman ladang hutan telah dilaksanakan sekurang-kurangnya 50 peratus. Kawasan ladang hutan yang telah dibersihkan hendaklah segera dilaksanakan penanaman semula bagi mengelakkan kemerosotan ekosistem dan risiko berlakunya kejadian bencana alam.
Dalam hubungan ini, selaras dengan keputusan Majlis Tanah Negara Ke-81 pada 19 September 2024, Kerajaan Negeri hendaklah memastikan pengusaha ladang menyegerakan aktiviti penanaman semula di kawasan ladang hutan yang telah dibersihkan dan belum ditanam. Kementerian melalui JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri akan bekerjasama untuk memantau status pelaksanaan penanaman semula di setiap negeri dari semasa ke semasa. Selain itu, Kerajaan Negeri juga diminta untuk mengambil tindakan tegas dengan membatalkan kelulusan atau mengenakan denda terhadap pengusaha yang gagal membuat penanaman di kawasan yang telah dibersihkan.
Sehingga kini, Kerajaan Negeri Pahang dan Negeri Sembilan telah mengambil tindakan tegas dengan membatalkan kelulusan terhadap pengusaha yang gagal membuat penanaman semula di kawasan yang telah dibersihkan dengan keluasan sebanyak 14,774.00 hektar dan 1,037.25 hektar di negeri masing-masing.
Soalan (b)
Berdasarkan rekod semasa, terdapat beberapa negeri yang menunjukkan prestasi penanaman semula yang rendah, iaitu di bawah paras 50 peratus seperti Kedah sebanyak 4,348.96 hektar (41%), Kelantan sebanyak 50,767.63 hektar (38%), Pahang sebanyak 22,759.72 hektar (38%) dan Selangor sebanyak 3,836.16 hektar (37%).
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|