Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

15 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

65

Soalan

Senator Puan Norhasmimi binti Abdul Ghani minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi memperkukuhkan sistem amaran awal gempa bumi dan mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap prosedur keselamatan termasuk perancangan latihan berkala di kawasan berisiko seperti Sabah dan Pantai Barat Semenanjung.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Langkah Memperkukuh Sistem Amaran Awal Gempa Bumi


  1. Meskipun Malaysia terletak di luar zon aktif Lingkaran Api Pasifik, kita tidak terkecuali daripada risiko seismik. Negara kita terkesan oleh gegaran kuat rentas sempadan dari gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina, di samping berhadapan dengan kejadian gempa bumi tempatan berskala kecil, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan-kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia.


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pemantauan gempa bumi dan pengeluaran amaran awal tsunami telah mengambil langkah komprehensif seperti:


  1. pemantauan menerusi Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang dikendalikan oleh Pusat Operasi Gempa Bumi dan Tsunami Nasional dan beroperasi 24 jam sehari. Maklumat gempa bumi dan amaran tsunami dikeluarkan dalam tempoh lapan (8) minit selepas pengesanan.


  1. mengoperasikan 80 buah stesen seismik di seluruh negara dan data dihantar secara masa nyata, selain menerima data seismik masa nyata daripada 323 stesen antarabangsa. 


  1. melaksanakan peningkatan Sistem Pengesanan dan Pemprosesan Data SeisComP supaya kejadian berskala kecil dapat dikesan dengan lebih cepat dan tepat.


  1. melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 menerusi RMKe-13, yang melibatkan pengukuhan 12 stesen seismologi sedia ada di seluruh negara dan naik taraf empat (4) stesen sedia ada di Johor daripada jenis Strong Motion kepada Weak Motion bagi meningkatkan keupayaan mengesan gempa bumi bermagnitud lemah.


  1. Kerajaan Negeri Johor melalui MET Malaysia juga telah membuat permohonan kepada NADMA untuk pembinaan 2 stesen seismologi baharu di Segamat dan Muar, Johor.


  1. menaik taraf instrumen stesen seismologi dan perisian analisis data serta menyasar untuk mengurangkan tempoh pengeluaran maklumat/amaran daripada 8 minit kepada 6 minit menjelang 2026.


  1. menjalin hubungan strategik dengan Pacific Tsunami Warning Centre (PTWC), South China Sea Tsunami Advisory Center (SCSTAC) serta Indian Ocean Tsunami Warning & Mitigation System (IOTWMS) bagi mendapat akses pantas kepada data pemantauan global untuk pengeluaran amaran yang lebih awal dan tepat. 


Program Peningkatan Kesedaran Rakyat

  1. Seiring dengan usaha memperkukuh sistem amaran, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, MET Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi responder utama, terus mempertingkatkan kesedaran rakyat mengenai keselamatan gempa bumi dan tsunami melalui inisiatif berikut:


  1. Melaksanakan program kesedaran awam dan latihan simulasi gempa bumi serta tsunami secara berterusan di kawasan berisiko, khususnya di Sabah dan Pantai Barat Semenanjung. Antara yang dilaksanakan ialah di Kundasang (2020 & 2023) dan Segamat (2025). 


  1. Mengemaskini pangkalan data dan rekod gempa bumi bagi memastikan maklumat yang disalurkan kepada pihak berwajib dan orang awam adalah tepat dan terkini.


  1. Memperluas kajian pemetaan sesar aktif dan penilaian risiko gempa bumi di kawasan yang dikenal pasti berpotensi.


  1. Mengemaskini dan menerbitkan Peta Seismotektonik dan Peta Bahaya Seismik Malaysia untuk rujukan pembangunan serta Peta Zon Bencana Seismik Malaysia bagi Pengurusan Bencana sebagai panduan kepada masyarakat mengenai tindakan semasa berlaku kejadian gempa bumi.


  1. Memperkukuh khidmat pakar serta nasihat teknikal kepada agensi responder bagi meningkatkan keberkesanan operasi tindak balas ketika berlakunya bencana gempa bumi.


Sekian, terima kasih.



Attachments