Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 15 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 45 | Soalan | Senator Puan Norhasmimi binti Abdul Ghani minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan dan langkah penambahbaikan yang akan diambil oleh Kerajaan bagi memastikan keselamatan pendaki di kawasan gunung di seluruh negara, khususnya dalam aspek tanggungjawab malim gunung, sistem komunikasi kecemasan (laporan kecemasan) dan pemantauan permit pendakian.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aktiviti pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) merupakan satu aktiviti yang berisiko tinggi. Dalam hubungan ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah memperkenalkan program Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada tahun 2020 sebagai langkah memastikan keselamatan para pendaki serta mengurangkan risiko berlakunya kecederaan atau kes kehilangan.
Antara usaha penambahbaikan di bawah program MGP tersebut, JPSM akan mengadakan kursus ulang kaji (refresher course) kepada Malim Gunung sedia ada khususnya dalam aspek pengurusan risiko dan kemalangan. Ini bertujuan memastikan penilaian dan kawalan risiko bagi setiap aktiviti pendakian dilaksanakan dan sekiranya berlaku kemalangan, Malim Gunung terlatih dapat melaksanakan prosedur kecemasan sewajarnya.
Selain itu, JPSM juga akan menetapkan penilaian tahap kompetensi Malim Gunung sebagai kriteria wajib semasa sesi pembaharuan pendaftaran malim gunung. Malim Gunung yang tidak mencapai tahap kompetensi minimum akan digantung daripada menjalankan perkhidmatan Malim Gunung.
JPSM juga sedang bekerjasama dengan pihak United Nations Development Programme (UNDP) bagi memuktamadkan dokumen Mountain Risk Assessment and Management Guideline (MOGRAM) yang akan menjadi rujukan kepada pihak JPSM dan Malim Gunung dalam pengurusan risiko aktiviti pendakian.
Di samping itu, antara penambahbaikan yang dilaksanakan oleh JPSM dalam aspek pemantauan dan sistem komunikasi termasuklah:
memperluaskan pemakaian sistem permohonan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) secara dalam talian dan mempermudah proses permohonan permit memasuki HSK; dan
bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri-negeri untuk menggiatkan operasi penguatkuasaan terhadap pematuhan permit masuk dengan mengadakan rondaan secara berkala di kawasan hotspot pendakian.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|