Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 15 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | PERHILITAN, Biodiversiti | Nombor Soalan | 20 | Soalan | Senator Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah segera dan jangka panjang untuk menangani konflik manusia-gajah yang meruncing khususnya di kawasan Gua Musang dan beberapa kawasan lain di seluruh negara, serta nyatakan jumlah operasi tangkap pindah (translocation) gajah yang telah berjaya dilaksanakan di Gua Musang dalam tempoh 2020-2025.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian serius mengenai isu konflik manusia dan hidupan liar termasuk gajah di kawasan Gua Musang.
Bagi tujuan ini, Jabatan PERHILITAN telah membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (National Elephant Conservation Action Plan - NECAP) 2.0 sebagai garis panduan dan rujukan oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia termasuk langkah segera untuk menangani konflik manusia dan gajah.
Antara tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan PERHILITAN di kawasan Gua Musang adalah seperti berikut:
mensiapsiagakan pasukan konflik pada setiap masa untuk bertindak awal bagi mengawal situasi apabila berlakunya konflik manusia dan gajah;
menjalankan aktiviti kawalan awalan gangguan gajah seperti tembak halau bagi menakutkan gajah dan menghalau gajah kembali ke dalam hutan;
menjalankan operasi tangkapan gajah di lokasi konflik yang serius dan memindahkannya ke habitat yang lebih luas dan sesuai sekiranya penilaian di lapangan memerlukan tindakan pemindahan;
melaksanakan Program Komuniti Sistem Pagar Elektrik Mudah Alih (SPEGKOM) yang melibatkan penduduk di kawasan Kampung Subong, Gua Musang. Pagar elektrik mudah alih ini telah dipasang sejauh 1.6 km; dan
menyediakan kawasan zon selamat di lokasi konflik manusia dan gajah, khususnya di pos-pos Orang Asli, dengan memasang pagar elektrik mudah alih di kawasan dewan komuniti sebagai tempat berkumpul sekiranya berlaku konflik.
Jabatan PERHILITAN juga telah melaksanakan beberapa langkah jangka panjang untuk menangani konflik manusia dan gajah seperti berikut:
pembinaan sebanyak 3 lintasan hidupan liar (viaduct) di Semenanjung Malaysia iaitu di koridor ekologi Sg. Deka, Terengganu pada tahun 2009, koridor ekologi Sg. Yu pada tahun 2014 dan koridor ekologi Gerik, Perak pada tahun 2015;
pembinaan sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal bermula dari tahun 2009 dengan jumlah liputan sepanjang 305.6 km di kawasan konflik manusia dan gajah di 5 buah negeri keliaran gajah iaitu Pahang, Johor, Perak, Kelantan dan Terengganu;
penggunaan teknologi seperti kolar satelit, dron dan perangkap kamera bermula dari tahun 2018. Pemasangan kolar satelit ke atas 17 ekor gajah di negeri Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Johor berfungsi sebagai sistem amaran awal dan mengesan pergerakan gajah seterusnya mengambil tindakan pencegahan awal sekiranya kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian;
menambah bilangan papan tanda peringatan hidupan liar melintas sebagai panduan keselamatan dan peringatan kepada pengguna jalan raya di lokasi lintasan hidupan liar;
menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang yang berfungsi sebagai pusat menyelamat anak-anak gajah yang ditinggalkan kumpulannya, merawat gajah-gajah yang tercedera selain menjadi tarikan aktiviti ekopelancongan berasaskan gajah;
membangunkan Santuari Gajah Johor (Johor Elephant Sanctuary - JES) di Negeri Johor bagi mengurangkan konflik gajah di samping mewujudkan aktiviti ekopelancongan dan penyelidikan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk tempatan;
menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu bagi mengurangkan impak konflik gajah khususnya di negeri Terengganu;
mengenal pasti kumpulan gajah di seluruh negeri-negeri yang mempunyai populasi gajah bagi tujuan pemantauan dan pengurusan konflik; dan
menjalankan sesi libat urus dan konsultasi bagi pengurusan konflik gajah bersama pihak-pihak berkepentingan.
Dalam tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 340 ekor gajah telah dipindahkan di Semenanjung Malaysia, termasuk 143 ekor di Kelantan dan 32 ekor khususnya di Gua Musang.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|