Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

15 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

1

Soalan

Senator Tuan Amir bin Md Ghazali minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah hala tuju National Climate Resilience Plan dalam menangani ancaman banjir besar serta perubahan corak cuaca ekstrem di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. National Climate Resilience Plan yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat adalah merujuk kepada Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia (MyNAP) yang sedang dibangunkan dan dijangka siap pada akhir tahun 2026. Dokumen ini bakal menggariskan hala tuju perancangan, strategi dan pelaksanaan tindakan adaptasi negara bagi meningkatkan daya tahan iklim di samping merancang strategi dan tindakan untuk menangani ancaman banjir besar dan perubahan corak cuaca ekstrem di Malaysia. 


  1. MyNAP juga akan dibangunkan selari dengan dasar serta polisi sedia terkini di antaranya adalah Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0), Laporan Nationally Determined Contribution (NDC 3.0) dan Laporan Fourth National Communication (NC4). Penetapan hala tuju MyNAP juga adalah berdasarkan kepada prinsip dan objektif strategik yang menyeluruh berkonsepkan (whole-of-government) dalam merancang pelan pembangunan, perancangan bandar serta pengurusan sumber air.


  1. Beberapa langkah teknikal dan perancangan program untuk menangani banjir besar dan cuaca ekstrem telah diambil oleh Kementerian dan agensi yang bertanggungjawab di antaranya:


  1. penumpuan terhadap kawalan pembangunan dan pengurusan kawasan tadahan lembangan sungai, kawalan guna tanah di lembangan berisiko, program pemuliharaan sungai serta kawalan hakisan pantai;


  1. memperkasakan sistem ramalan dan amaran awal banjir dengan informasi serta peringatan awal yang sampai ke komuniti rentan; dan


  1. memperkukuhkan langkah mitigasi banjir melalui pelaksanaan projek-projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi di samping memastikan reka bentuk infrastruktur banjir akan mengambil kira faktor perubahan iklim serta menggunapakai pendekatan adaptasi yang berasaskan Nature-based Solutions (NBS) untuk mengurangkan impak banjir.


  1. MyNAP akan mengarusperdanakan dasar dan pelaksanaan tindakan adaptasi di peringkat nasional dan sub nasional. Usaha sebegini dijangka akan membantu negara untuk membangunkan kerangka kerja inisiatif adaptasi yang lebih mantap dalam menghadapi ancaman perubahan iklim.


Sekian, terima kasih.



Attachments