Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

10 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

55

Soalan

Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam menguruskan sisa buangan di kawasan perairan negara yang datang dari negara jiran dan membawa lambakan sisa buangan ke kawasan perairan dan pesisir negara Malaysia.​
​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Memandangkan isu sisa marin dan lambakan sampah rentas sempadan memerlukan penyelesaian bersama, Kerajaan Malaysia mengambil peranan aktif di peringkat serantau dan antarabangsa:


  1. Di peringkat ASEAN: Malaysia bekerjasama erat dengan negara-negara ASEAN dan rakan dialognya (seperti China, Jepun, dan Korea Selatan) bagi menangani cabaran alam sekitar serantau, termasuk isu p​encemaran plastik marin. Ini termasuk menyokong pelaksanaan ASEAN Framework of Action on Marine Debris; dan


  1. Forum Ekonomi Asia Pasifik (APEC): Malaysia menyertai inisiatif yang menggalakkan pembangunan pasaran dan pelaburan dalam perkhidmatan pembersihan sisa marin, serta mengkaji semula peraturan untuk memudahkan peralihan kepada ekonomi kitaran.


  1. Kerajaan juga tegas dalam mengawal pergerakan sisa haram merentasi sempadan negara:


  1. Membanteras Import Sisa Haram: Malaysia terus komited untuk bekerjasama dengan badan antarabangsa seperti Basel Action Network (BAN) bagi membanteras pengimportan haram e-waste dan plastik, terutamanya dari negara maju; dan


  1. Penguatkuasaan Undang-Undang: Usaha ini merangkumi  pemintasan dan penghantaran pulang kontena yang mengandungi sisa haram, menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam perkongsian maklumat dan penguatkuasaan. Malaysia memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa bagi menjaga kepentingan negara dalam mengawal pergerakan sisa berbahaya rentas sempadan.



  1. Di peringkat domestik, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi-agensi berkaitan telah melaksanakan pelan tindakan untuk menguruskan sisa marin secara menyeluruh melalui:


  1. Dasar dan Pelan Tindakan Sisa Marin Kebangsaan 2021-2030: Menyasar kepada perubahan sistemik termasuk memperkukuh kawalan sisa di sempadan;


  1. Pengurusan Sisa Pepejal: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] bertanggungjawab mengawal selia pengurusan sisa pepejal termasuk sisa plastik, di mana kebanyakan sisa marin berpunca dari daratan;


  1. Inisiatif Pembersihan: Kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti tempatan untuk melaksanakan operasi pembersihan di laut dan pesisir pantai. Contohnya termasuk penggunaan bot pembersih sampah (skimmer boat) di perairan tertentu untuk mengutip sampah terapung secara lebih efisien; dan


  1. Pencegahan: Usaha juga dilakukan untuk memasang perangkap sampah di sungai dan saliran utama untuk menghalang sisa daripada mengalir ke laut, walaupun ia memerlukan penyelenggaraan berkala.


  1. Secara keseluruhannya, isu lambakan sisa buangan dari negara jiran, terutamanya semasa musim monsun, diakui sebagai masalah berulang yang memerlukan usaha kolektif dan koordinasi yang bersepadu merentas sempadan dan sektor.


Sekian, terima kasih.


​

Attachments