Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

10 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

51

Soalan

Senator Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan telah mengadakan sesi libat urus dan rundingan dengan Kerajaan negeri, khususnya berkaitan industri unsur nadir bumi mentah (REE), sebelum menandatangani perjanjian timbal balik perdagangan (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa menitikberatkan penyelarasan serta libat urus dengan Kerajaan Negeri dalam hal ehwal pengurusan sumber mineral, termasuk unsur nadir bumi (REE), selaras dengan pembahagian bidang kuasa Persekutuan dan Negeri. Dalam apa-apa perancangan atau inisiatif berkaitan pembangunan industri REE, Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan berhati-hati, disamping memastikan rundingan serta penyelarasan yang rapi dibuat bersama Kerajaan Negeri bagi memelihara kepentingan, hak dan keutamaan pembangunan negeri.

  1. Berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, atas faktor kesegeraan, tiada sesi libat urus dan perundingan yang khusus mengenainya bersama pihak Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, tindakan yang dibuat tetap menjunjung prinsip pembahagian kuasa yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, serta pendirian dari pelbagai platform perundingan berkaitan pembangunan industri mineral antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebelum ini. 

  1. Dalam hal ini, NRES mengemukakan input kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, yang menerajui rundingan perjanjian dengan pihak Amerika Syarikat, bahawa bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam pembangunan industri REE khususnya dalam aktiviti mencari gali dan perlombongan di peringkat huluan perlu dihormati. Selain itu, Malaysia tidak menawarkan pengeksportan REE mentah sebagai timbal balas atau prasyarat dalam rundingan tersebut selaras dengan dasar semasa mengenainya.

  1. Rundingan ART telah dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan Kerajaan (whole of government) yang melibatkan pelbagai Kementerian dan agensi berkaitan. Pada masa yang sama, Kementerian ini menegaskan bahawa apa-apa aktiviti perlombongan REE di dalam negara kekal tertakluk kepada kerangka perundangan sedia ada serta persetujuan Kerajaan Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

Sekian, terima kasih.



Attachments