Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

10 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar, Perubahan Iklim

Nombor Soalan

46

Soalan

Senator Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan impak terhadap alam sekitar yang telah dikenal pasti akibat peningkatan operasi pusat data dan pembangunan infrastruktur digital yang pesat di Malaysia, khususnya dari aspek penggunaan tenaga, air dan pelepasan karbon, serta apakah langkah-langkah mitigasi yang sedang atau akan diambil oleh Kerajaan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil maklum akan perkembangan pesat pembangunan dan pengoperasian pusat data di Malaysia. Industri ini menjadi komponen utama dalam ekosistem ekonomi digital Negara dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti dan kemasukan pelaburan yang tinggi.

  1. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pesat industri ini menimbulkan kebimbangan berhubung potensi impak terhadap alam sekitar. Antara kesan-kesan yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:

  1. Kebergantungan Tinggi terhadap Sumber Air

  1. Pusat data menggunakan sistem penyejukan yang memerlukan jumlah air yang banyak untuk mengekalkan suhu operasi.

  1. Penghasilan Air Sisa daripada Sistem Penyejukan

  1. Air sisa yang terhasil lazimnya mengandungi kepekatan bahan kimia rawatan air yang tinggi dan boleh menjejaskan kualiti air sekiranya dilepaskan tanpa mematuhi had pelepasan yang sedang berkuatkuasa.

  1. Peningkatan Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG)

  1. Penggunaan elektrik yang tinggi oleh pusat data dijangka akan meningkatkan permintaan penjanaan tenaga pada masa ini yang masih bergantung kepada bahan api fosil. Ini secara langsung akan meningkatkan pelepasan karbon serta gas rumah kaca yang lain.

  1. Peningkatan Sisa Elektrik dan Elektronik (E-Waste)

  1. Pertumbuhan pusat data turut meningkatkan jumlah e-waste seperti peralatan ICT, server, kabel serta bateri.

  1. Sehubungan itu, Kementerian ini bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melaksanakan langkah-langkah mitigasi berdasarkan bidang kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap aktiviti pengoperasian pusat data seperti berikut:

  1. Pembangunan Pusat Data

  1. Pembangunan pusat data bukan merupakan aktiviti yang ditetapkan (AYDT) di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015; 

  1. Prosedur permohonan pembangunan pusat data adalah melalui sistem One Stop Centre (OSC) 3.0 seperti yang digariskan di dalam Garis Panduan Perancangan (GPP) Pusat Data yang dibangunkan oleh Jabatan  Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia); dan

  1. Dalam hal ini, JAS akan memberikan ulasan melalui OSC ini terhadap pemajuan pusat data yang terletak di kawasan baharu dan bangunan sedia ada dalam zon guna tanah perindustrian (ringan dan sederhana) dan komponen pembangunan pusat data yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015.

  1. Pengurusan Blowdown

  1. Pelepasan air daripada sistem penyejukan pusat data adalah tidak tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Walau bagaimanapun, pihak premis perlu menjalankan Kajian Penyifatan Efluen Perindustrian (IECS) dan mengemukakan laporan kajian kepada JAS untuk penilaian lanjut;

  1. Kualiti air blowdown yang dilepaskan perlu dipantau agar tidak melebihi had Standard A atau B mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 berdasarkan lokasi pusat data agar Indeks Kualiti Air (IKA) sungai yang terlibat dapat dikekalkan selaras dengan kegunaan bermanfaat (beneficial uses) yang digariskan. Ini bertujuan untuk memastikan kualiti air sungai tidak terjejas memandangkan terdapat kemungkinan pembangunan pusat data terletak di hulu takat pengambilan air; dan 

  1. Cadangan berkaitan penyaluran air blowdown ke loji rawatan kumbahan IWK hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan IWK. Dalam hal ini, pihak IWK hendaklah mengemukakan notifikasi kepada JAS berhubung punca baru tersebut selaras dengan keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

  1. Pembangunan dan Pengoperasian Water Reclamation Plant (WRP) di Pusat Data 

  1. Pembangunan sesebuah Water Reclamation Plant (WRP) perlu dimaklumkan oleh premis kepada JAS Negeri bagi tujuan mendapatkan input pembangunan bagi membolehkan pemantauan JAS ke atas kewujudan WRP di Malaysia; dan 

  1. Sebarang pelepasan air buangan dari WRP adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. 

  1. Pengurusan Buangan Terjadual

  1. Pengurusan sebarang buangan terjadual seperti e-waste yang dihasilkan oleh pusat data perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 sepenuhnya.

  1. Sehubungan itu semua projek pembangunan pusat data perlu mengambil maklum dan perhatian berhubung keperluan pematuhan yang ditetapkan sebelum projek tersebut dilaksanakan  supaya impak terhadap alam sekitar dapat ditangani.

Sekian, terima kasih.



Attachments