Tuan Yang di-Pertua,
Sehingga Oktober 2025, sebanyak 45,234 kes permohonan pusaka untuk diselesaikan. Kes ini meliputi permohonan tahun semasa dan juga kes-kes yang tertunggak bermula tahun 2024 dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) secara keseluruhannya berupaya menyelesaikan lebih daripada 85,000 kes setahun. Secara puratanya JKPTG menerima sebanyak 70,000 kes permohonan setiap tahun.
Berkuat kuasa mulai 3 Februari 2025 dan selaras dengan penstrukturan semula perjawatan di JKPTG oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut waran perjawatan W.P. Bil. E 02/2024, sebanyak 47 perjawatan bagi Pegawai Tadbir Gred N9 telah diluluskan. Kelulusan perjawatan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan perjawatan di bawah Bahagian Pengurusan Pusaka sebanyak 118 orang pegawai. Walau bagaimanapun, urusan pengisian bagi perjawatan tetap tersebut sedang dalam tindakan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Dalam hal ini, pengisian penuh jawatan Pegawai Tadbir Gred N9 di Bahagian Pengurusan Pusaka tersebut diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan penyelesaian kes daripada 8 bulan hingga 1 tahun kepada purata 6 bulan bagi permohonan yang lengkap.
Sekian, terima kasih.