Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 10 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains, Perhutanan | Nombor Soalan | 29 | Soalan | Senator Tuan Haji Baharuddin bin Ahmad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam memelihara kawasan hutan simpan dan gua batu kapur di seluruh negara khususnya di negeri Perlis agar kekal terpelihara dan selari dengan agenda pelancongan lestari.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Perhutanan Sabah komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan dan pokok-pokok. Sehingga kini, keluasan hutan negara adalah berjumlah 17.97 juta hektar atau bersamaan dengan 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara.
Dalam hubungan ini, bagi memelihara kawasan hutan simpan dan gua batu kapur di seluruh negara khususnya di negeri Perlis, JPSM melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah mewartakan kawasan berkeluasan 10,854 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Perlis atau bersamaan 13.3 peratus daripada keluasan tanah negeri. Kawasan HSK ini meliputi kawasan Banjaran Nakawan yang merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia, iaitu 36 kilometer yang merentasi sempadan di antara Perlis, Malaysia dan Thailand di bahagian barat laut. Banjaran ini terbentuk dari formasi Setul yang dianggarkan berusia 480 juta tahun.
Pewartaan HSK di Banjaran Nakawan juga meliputi banyak kawasan gua batu kapur seperti Gua Kelam di Kaki Bukit, Gua Wang Burma di Wang Kelian dan Gua Bukit Kubu di Kuala Perlis yang juga merupakan kawasan ekopelancongan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Dalam masa yang sama, JPSM bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis turut menjalankan kajian dan ekspedisi saintifik di hutan batu kapur serta pelbagai aktiviti kesedaran dan konservasi bersama komuniti setempat seperti Komuniti Hutan Negeri Perlis bagi memelihara dan memulihara kawasan geologi terutamanya dalam kawasan HSK.
Kementerian bersama JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis komited dalam usaha memelihara ekosistem Hutan Batu Kapur termasuk kawasan gua-gua yang belum diterokai. Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), Kerajaan telah meluluskan projek Pembangunan Inventori Biodiversiti Ekosistem Hutan Batu Kapur, Negeri Perlis dengan kos berjumlah RM500 ribu yang bertujuan mengumpul maklumat dan mengenalpasti status semasa kepelbagaian biologi ekosistem Hutan Batu Kapur di negeri tersebut.
NRES melalui JMG memainkan peranan penting dalam memelihara gua batu kapur yang merupakan warisan geologi yang penting, menjadi habitat flora dan fauna serta menyimpan rekod sejarah awal manusia seperti yang ditemui di Geotapak Gua Semadong, Perlis. Penemuan cengkerang purba turut menjadi bukti aras laut ribuan tahun dahulu, menjadikan kawasan batu kapur arkib semula jadi yang bernilai tinggi.
JMG melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan kawasan batu kapur dipelihara dan dibangunkan secara lestari, antaranya:
Pemetaan terperinci dan pengumpulan data saintifik dijalankan di kawasan batu kapur, termasuk gua, bagi tujuan pemuliharaan dan pembangunan lestari. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Pulau Pinang/Perlis telah melaksanakan pemetaan melibatkan tiga (3) lokasi geotapak pada tahun 2024 dan lima (5) lokasi geotapak pada tahun 2025 merangkumi pencirian geologi, dokumentasi gua serta penilaian potensi bencana geologi.
Penerbitan garis panduan dan dokumen perancangan bagi memastikan pembangunan geopark dan sebarang pembangunan di kawasan batu kapur mematuhi keperluan keselamatan serta sensitiviti geologi, seperti Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021–2030 (PPGN 2021-2030), Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) dan Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur (JMG.GP.15).
Program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dilaksanakan sepanjang tahun 2024 hingga 2025 melibatkan agensi kerajaan, komuniti setempat, sekolah, institusi pendidikan tinggi dan penggiat pelancongan bagi meningkatkan pemahaman serta sokongan terhadap pemuliharaan kawasan batu kapur sebagai warisan geologi negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|