Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 10 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 57 | Soalan | Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan jangkaan pelaksanaan sepenuhnya pelan tindakan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) berikutan kerangka dasar tersebut telah diluluskan oleh Jemaah Menteri sejak Januari 2024.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) telah dibentang dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 17 Januari 2024. Kerangka dasar ini memfokuskan pengurusan sumber mineral secara lebih strategik supaya industri mineral menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan keseluruhan rantaian nilai secara bertanggungjawab dan mampan, dengan penekanan kepada tadbir urus, teknologi, modal insan dan alam sekitar.
Pada masa ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah berada pada peringkat akhir bagi memuktamadkan pelan tindakan DMN3. Draf pelan tindakan telah dibangunkan melalui beberapa siri libat urus bersama pihak-pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, penggiat industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun 2024 dan 2025. Sesi libat urus yang terakhir telah dibuat pada 10 dan 11 November 2025 bagi meneliti pelan tindakan yang telah dibangunkan melalui pelbagai sesi sebelumnya.
Kerangka DMN3 memberi penekanan kepada :
pengukuhan tadbir urus dan persekitaran industri di bawah Teras 1 : Pemerkasaan Perundangan dan Persekitaran Industri termasuk cadangan menambah baik prosedur permohonan dan kelulusan serta penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu;
pemacuan aktiviti menambah nilai sumber mineral di bawah Teras 2 : Pengukuhan Keseluruhan Rantaian Nilai Industri termasuk melalui promosi, insentif dan pembangunan kluster atau zon ekonomi mineral; kemajuan teknologi dalam memperkukuh daya saing dan kelestarian industri mineral negara di bawah Teras 3 : Peningkatan Teknologi Dalam Industri melalui penerapan teknologi pintar dan inovasi dalam setiap peringkat rantaian industri mineral;
pemerkasaan aspek sumber manusia di bawah Teras 4 : Pembangunan Kepakaran dan Kemahiran Modal Insan yang antara lain akan menumpukan kepada pelaksanaan program akreditasi yang bertujuan mengiktiraf dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam industri mineral; dan
pematuhan prinsip kelestarian merentas Persekutuan dan negeri di bawah Teras 5: Penekanan kepada Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) termasuk pembangunan prosedur dan piawaian ESG yang diiktiraf di peringkat serantau dan antarabangsa.
Walaupun pelan tindakan menyeluruh belum dimuktamadkan, beberapa inisiatif yang sejajar dengan teras DMN3 telah pun digerakkan, termasuk usaha memperkukuh tadbir urus dan penguatkuasaan dalam sektor mineral, menggalakkan penambahan nilai sumber mineral serta mengarus perdanakan prinsip ESG dalam pembangunan mineral. Pelaksanaan sepenuhnya pelan tindakan DMN3 dijangka dapat dicapai secara progresif bermula tahun 2026 apabila semua program di bawah setiap teras strategik dilaksanakan dan diselaraskan bersama pemegang taruh.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|