Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 08 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 42 | Soalan | Senator Dr. Hajah Wan Martina binti Wan Yusoff minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah inisiatif oleh Kerajaan bagi membantu Kerajaan Negeri Kelantan dalam memulihara sungai-sungai yang tercemar di negeri Kelantan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2024, sebanyak 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai telah dipantau di negara ini. Program pengawasan kualiti air sungai dilaksanakan secara manual dengan kekerapan persampelan bagi setiap stesen pengawasan kualiti air sungai manual dijalankan adalah sebanyak enam (6) kali setahun.
Selain itu terdapat juga 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang bertujuan untuk memantau kualiti air sungai di hulu takat pengambilan air di sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air.
Di Negeri Kelantan, terdapat sebanyak 83 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 39 sungai dan satu (1) stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Status kualiti air sungai di Negeri Kelantan bagi tempoh lima (5) tahun sejak 2020 sehingga Oktober 2025, secara keseluruhannya menunjukkan status kualiti air sungai dalam keadaan yang baik dengan Nilai Indeks Kualiti Air (IKA) di dalam Kelas I – III dan tiada sungai di Negeri Kelantan yang dikategorikan sebagai tercemar.
Berdasarkan parameter yang dipantau, JAS dapat mengenalpasti punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan ini membantu JAS dalam merancang aktiviti penguatkuasaan yang lebih berfokus kepada sektor industri dan kawasan industri yang menyumbang kepada pencemaran.
Antara punca utama pencemaran sungai ialah peningkatan parameter Ammoniacal Nitrogen (AN) yang disebabkan oleh pelepasan kumbahan yang tidak dirawat sepenuhnya dan pelepasan sisa kumbahan daripada aktiviti penternakan. Manakala peningkatan parameter Biochemical Oxygen Demand (BOD) sering dikaitkan dengan punca tidak tetap seperti air larian permukaan dari kawasan perbandaran, pertanian dan tapak pembinaan, limpahan dari tapak pelupusan sampah, sisa domestik yang tidak dirawat, sisa restoran dan pasar serta lain-lain lagi.
Pelbagai usaha dan strategi secara holistik telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara sungai merangkumi perkara-perkara seperti berikut :-
Mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan pencemaran air dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan laporan Environmental Impact Assessment (EIA);
Mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran air supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus;
Operasi penguatkuasaan dan pemantauan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan dan negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Agensi-agensi lain yang berkaitan;
Semua kesalahan melakukan dan menyebabkan pencemaran air di bawah Seksyen 25, AKAS 1974 akan dikenakan tindakan tegas dengan denda maksimum RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun; dan
Memberi input pembangunan kepada PBT berkaitan dengan penempatan sesuatu aktiviti pembangunan, keperluan langkah-langkah kawalan pencemaran dan kawalan pencemaran.
Kementerian juga melalui JAS giat melaksanakan program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang bertujuan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam penjagaan alam sekitar. Ahli RAS berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam melaporkan sebarang aktiviti pencemaran serta terlibat dalam program kesedaran dan gotong-royong.
Isu pencemaran sungai di negara ini amat penting untuk ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Sehubungan itu, Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) telah ditubuhkan pada tahun 2024 bagi tujuan untuk memantau isu dan menyelaras langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi. JKKAS dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri II dan telah bersidang sebanyak 4 kali pada tahun 2024 hingga 2025.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|