Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

08 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perhutanan, Perubahan Iklim

Nombor Soalan

39

Soalan

Senator Datuk Edward Linggu Bukut minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :-


  1. sejauh mana keberkesanan dan ketelusan pengurusan hasil hutan di negeri Sabah pada masa ini, termasuk mekanisme perkongsian hasil antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya pulangan sumber asli negeri diagih secara adil dan berimpak kepada rakyat; dan


  1. perkembangan pelaksanaan konsep "Forest Beyond Timber" dan sejauh mana inisiatif ini telah menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, peluang ekonomi hijau dan pemeliharaan sumber hutan secara mampan.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Soalan (a)


  1. Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa urusan berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengurusan hasil hutan di Sabah dilaksanakan berasaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus lestari, selaras dengan bidang kuasa negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sabah menggunakan sistem pengurusan hutan mampan yang merangkumi Forest Management Plan (FMP), Sustainable Forest Management Licence Agreement (SFMLA) serta Sabah Timber Legality Assurance System (Sabah TLAS) bagi memastikan semua hasil hutan diperoleh secara sah dan berhemah. Daripada segi prestasi kewangan, hasil sektor perhutanan masih merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan negeri melalui royalti, premium dan fi perhutanan.

  1. Sistem kutipan royalti kayu di Sabah ditadbir di bawah Enakmen Hutan 1968 dan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Sabah. Royalti merupakan hasil utama negeri yang dikutip daripada pengeluaran kayu balak dan produk kayu dari kawasan hutan simpan, kawasan lesen pembalakan serta aktiviti-aktiviti berkaitan pengeluaran kayu. Keseluruhan hasil hutan yang dikutip, ditadbir dan diurus sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.  

  1. Bagi meningkatkan ketelusan kutipan royalti, Jabatan Perhutanan Sabah telah melancarkan aplikasi permohonan pembayaran royalti balak bulat secara dalam talian melalui Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti Balak Bulat (SPPR) sejak 1 Disember 2023. SPPR ini dibangunkan bertujuan untuk memudahcara sistem bayaran royalti kayu balak, dan seterusnya memudahkan proses kutipan hasil kepada Kerajaan Negeri. 

  1. Kerajaan Negeri Sabah juga sedang memperkukuh penerbitan maklumat tahunan hasil hutan serta meningkatkan integriti proses kelulusan dan pemantauan. Agihan hasil pula dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri mengikut kuasa perundangan sedia ada, dan dikembalikan dalam bentuk pembangunan infrastruktur, program konservasi serta sokongan ekonomi rakyat, termasuk komuniti luar bandar.


Soalan (b)


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, konsep ”Forest Beyond Timber” diperkenalkan sebagai strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil kayu balak dan mengoptimumkan nilai sumber hutan secara mampan. 

  1. Antara inisiatif yang dilaksanakan di bawah konsep ”Forest Beyond Timber” ialah pembayaran perkhidmatan ekosistem melalui aktiviti eko-pelancongan dan pembangunan produk hasil bukan kayu (Non-Timber Forest Products - NTFP) seperti madu kelulut, rotan dan herba hutan. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta dalam menyediakan sokongan kewangan untuk aktiviti konservasi, pengurusan hutan secara lestari serta usaha mitigasi perubahan iklim. Usaha ini menunjukkan perkembangan positif melalui pembukaan peluang baharu dalam ekonomi hijau, peningkatan penyertaan komuniti tempatan serta pengurangan tekanan terhadap aktiviti pembalakan konvensional.

  1. NRES juga telah membangunkan instrumen kewangan inovatif, di bawah Kerangka Kewangan REDD Plus meliputi instrumen bukan berasaskan pasaran (dikenali sebagai Forest Conservation Certificate) dan instrumen berasaskan pasaran (dikenali sebagai Forest Carbon Offset). 

  1. Instrumen-instrumen ini bertujuan untuk mengiktiraf fungsi hutan sebagai salah satu penyumbang utama kepada mitigasi perubahan iklim, serta potensi hutan sebagai aset untuk menjana pendapatan selain dalam bentuk komoditi. Sebagai contoh, Forest Conservation Certificate (FCC) dirangka dan telah mula dioperasikan untuk memberi peluang dan ruang kepada pihak swasta untuk menyumbang dalam bentuk wang ringgit bagi menampung usaha-usaha konservasi, pemuliharaan hutan serta mengiktiraf fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air dan juga penglibatan komuniti dan organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga dan melindungi hutan.

  1. Forest Carbon Offset (FCO) pula dirangka dan sedang dimuktamadkan sebagai sistem pengkreditan karbon kebangsaan bagi sektor perhutanan yang dihasratkan untuk setara atau alternatif kepada piawaian karbon antarabangsa sedia ada seperti Verra dan Gold Standard. Melalui FCO, Kementerian berhasrat untuk mewujudkan satu piawaian karbon kebangsaan yang boleh digunakan untuk membangunkan projek karbon yang lebih spesifik kepada keperluan perundangan dan dasar di Malaysia; selain menyediakan instrumen yang lebih murah dan mengatasi isu kelewatan (bottleneck) di dalam penjanaan (issuance) kredit karbon yang dihadapi oleh pembangun projek yang menggunakan piawaian karbon antarabangsa.

  1. Kementerian berharap inisiatif baharu ini akan menjadi pelengkap kepada usaha di peringkat negeri Sabah yang mula menguatkuasakan pindaan Enakmen Perhutanan dan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 yang digubal untuk mengawalselia aktiviti pembangunan projek karbon di negeri Sabah.

Sekian, terima kasih.



Attachments