Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

03 December 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

31

Soalan

Senator Tan Sri Dato' Low Kian Chuan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan keberkesanan langkah sedia ada dalam membantu perniagaan beralih kepada operasi rendah karbon, khususnya PKS, serta keberkesanan insentif kewangan dan/atau cukai bagi menyokong pematuhan kepada standard ESG.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) turut terlibat melaksanakan inisiatif dan program bagi menyokong peralihan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah operasi rendah karbon. Antaranya adalah Program MyHIJAU Mark, MyHIJAU Direktori dan Dasar Perolehan Hijau yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.


  1. MyHIJAU Mark adalah pengiktirafan rasmi Kerajaan Malaysia bagi menghimpunkan produk dan perkhidmatan hijau bersijil di bawah satu label tunggal. Produk dan perkhidmatan yang disenaraikan di bawah MyHIJAU Mark hanya diiktiraf selepas melepasi ujian pihak ketiga yang dijalankan oleh badan pensijilan dan verifikasi bertauliah. Ini memastikan ketelusan, kebolehpercayaan, dan pengiktirafan rasmi oleh Kerajaan Malaysia. Pengiktirafan ini bertujuan untuk membanteras Greenwashing terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan, membantu Industri Melalui Insentif Cukai  dan menyokong pelaksanaan dasar Perolehan Hijau Kerajaan. 


  1. MyHIJAU Direktori pula diwujudkan sebagai pangkalan data produk dan perkhidmatan hijau yang komprehensif bagi membolehkan pengguna dan pihak industri mengakses maklumat lengkap bagi menyokong pilihan yang lebih lestari. Jumlah bilangan produk dan perkhidmatan secara kumulatif dari tahun 2015 sehingga November tahun 2025 adalah sebanyak 21,708 dengan 1,128 buah syarikat yang tersenarai di bawah direktori tersebut.


  1. Perolehan Hijau Kerajaan (Government Green Procurement) - GGP merujuk kepada amalan perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja oleh agensi kerajaan dengan mengambil kira aspek alam sekitar dalam setiap keputusan pembelian/perolehan Kerajaan. Ia melibatkan keutamaan kepada produk dan perkhidmatan yang memenuhi kriteria mesra alam, menggunakan sumber secara lebih cekap, serta membantu memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi. Ini dapat menggalakkan penggunaan barangan dan teknologi yang lebih lestari. Pihak Kementerian Kewangan turut telah mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan 1.9 bagi tatacara dan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan oleh semua kementerian. 


  1. Bagi menyokong pematuhan standard ESG, Kerajaan telah menawarkan beberapa insentif kewangan hijau, antaranya adalah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (Green Technology Financing Scheme – GTFS), yang membolehkan PKS memperoleh pinjaman pada kadar lebih rendah dan tempoh pembiayaan fleksibel untuk pelaburan dalam peralatan dan teknologi mesra alam, sekali gus mengurangkan kos operasi melalui peningkatan kecekapan tenaga dan penggunaan sumber yang lebih lestari.

  2. Oleh itu,  program dan aktiviti yang diterangkan di atas akan berfungsi sebagai pemangkin strategik bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah operasi rendah karbon. Melalui pengiktirafan standard yang telus serta akses kepada insentif cukai, PKS bukan sahaja didorong untuk menghasilkan produk bebas greenwashing yang berkualiti, malah berpeluang menembusi pasaran perolehan kerajaan yang luas, sekaligus menjadikan peralihan kepada model perniagaan lestari sebagai satu langkah yang menguntungkan dan kompetitif demi meminimumkan impak terhadap alam sekitar.


Sekian, terima kasih.
Attachments