Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 56 | Soalan | Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah perkembangan terkini pindaan Akta Pembangunan Mineral 1994 bagi memastikan akta ini dapat memenuhi keperluan semasa berkenaan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di seluruh negara.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti pindaan kepada Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] bagi memastikan rangka perundangan sedia ada lebih selaras dengan keperluan semasa industri mineral, termasuk pembangunan perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang perlu dilaksanakan secara tersusun, selamat dan mampan. Pindaan ini turut bertujuan memperkukuh kawal selia, mengurangkan ketirisan hasil serta memastikan amalan industri memenuhi standard teknologi dan alam sekitar masa kini.
Pada masa ini, NRES sedang melaksanakan proses Regulatory Impact Assessment (RIA) bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pemegang taruh, termasuk Kerajaan Negeri, agensi teknikal, industri serta pihak masyarakat. Pendekatan ini penting bagi memastikan pindaan yang digubal mengambil kira kesediaan pelaksanaan, tidak menjejaskan hak atau kepentingan mana-mana pihak, dan mampu memperkukuh tadbir urus perlombongan secara praktikal serta berkesan.
Selain itu, Kerajaan telah meluluskan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) untuk melaksanakan projek Pindaan Akta Pembangunan Mineral 1994 bagi tempoh tiga tahun bermula 2026. Kajian komprehensif ini akan merangkumi aspek-aspek penting seperti pencegahan pencemaran, penambahbaikan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan, kawal selia pergerakan hasil lombong dan kuari di luar tenemen, penyelarasan aktiviti pemprosesan mineral, serta elemen lain yang diperlukan untuk memastikan aktiviti perlombongan dijalankan secara bertanggungjawab dan memberi impak minimum kepada kawasan sekeliling. Usaha pindaan ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk memodenkan perundangan mineral negara serta memastikan industri strategik seperti REE berkembang dalam kerangka undang-undang yang kukuh, telus dan berasaskan prinsip kelestarian.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|