Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 33 | Soalan | Senator Tuan Michael Mujah Lihan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan berapakah jumlah senarai memorandum persefahaman (MoU) bilateral yang telah dimeterai oleh Kerajaan dalam pasaran kredit karbon negara berdasarkan Nationally Determined Contribution (NDC) di bawah Perjanjian Paris.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia telah menandatangani dua (2) Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pendekatan kerjasama (cooperative approaches) di bawah Artikel 6 perenggan 2 kepada Perjanjian Paris, iaitu dengan Republik Korea (Korea Selatan) pada 25 November 2024 dan dengan Singapura pada 7 Januari 2025.
Pemeteraian kedua-dua MoU tersebut menandakan kesediaan Republik Korea dan Singapura untuk melaksanakan mekanisme perkongsian kredit karbon secara dua hala dengan Malaysia. Melalui mekanisme ini, Republik Korea dan Singapura boleh membuat pelaburan bagi pelaksanaan projek karbon di Malaysia. Antara projek karbon yang berpotensi untuk dilaksanakan di Malaysia adalah seperti penghasilan biobahan api, pengurusan sisa secara mampan, dan projek berkaitan penyelesaian berasaskan alam semulajadi (nature-based solutions).
Kredit karbon yang diterbitkan dari projek tersebut akan dikongsikan antara Malaysia dengan Republik Korea dan Singapura. Kredit karbon yang dipindahkan kepada Republik Korea dan Singapura akan menyumbang kepada pencapaian sasaran NDC kedua-dua negara tersebut manakala kredit karbon yang tidak dipindahkan akan menyumbang kepada pencapaian sasaran NDC Malaysia.
Seperti mana yang terkandung di dalam NDC 3.0 Malaysia, sebahagian daripada pencapaian sasaran NDC 3.0 akan disumbangkan melalui pelaksanaan mekanisme di bawah Artikel 6 kepada Perjanjian Paris. Selain pelaburan hijau, pelaksanaan mekanisme Artikel 6 juga membolehkan Malaysia menerima manfaat dari aspek pemindahan teknologi, peluang pekerjaan hijau (green jobs), dan pembangunan kapasiti serta sokongan teknikal.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|