Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 48 | Soalan | Dato' Sri Tuan Ibharim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan keberhasilan Pelan Induk Teknologi Hijau Negara (GTMP) setakat ini dan bagaimana dasar baharu RMK13 akan memastikan sektor teknologi hijau berkembang dengan tadbir urus yang telus serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Sejak dilancarkan pada tahun 2017, Pelan Induk Teknologi Hijau Negara (GTMP) telah memperkukuh ekosistem industri hijau dengan menjadi rujukan utama pembangunan sektor teknologi hijau negara. Sehingga kini, GTMP telah mencatat beberapa pencapaian penting, antaranya:
Menjadi pemangkin pelaksanaan beberapa dasar dan inisiatif hijau utama negara seperti Perolehan Hijau Kerajaan atau Government Green Procurement (GGP), pemberian insentif untuk perusahaan hijau seperti pelepasan dan pengecualian cukai (Green Investment Tax Allowance – GITA; Green Investment Tax Exemption - GITE) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (Green Technology Funding Scheme - GTFS), serta pelabelan produk melalui MyHIJAU Mark;Menyumbang kepada peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sektor tenaga tempatan dan pengurusan sisa, pengangkutan rendah karbon dan pembangunan bangunan hijau dalam bidang pembangunan bandar dan kerajaan tempatan;Mengukuhkan ekosistem industri hijau negara dengan melibatkan lebih 2,000 syarikat dalam pelbagai subsektor. Setakat tahun 2024 sahaja, terdapat lebih 2,643 syarikat & 18,163 produk dan perkhidmatan yang diperakui melalui MyHIJAU Directory; danMencapai komitmen Kerajaan untuk membawa masuk pelaburan hijau menerusi penganjuran International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM), satu acara tahunan terbesar bagi teknologi dan perdagangan hijau di rantau ini. Sepanjang 15 tahun IGEM dilaksanakan, pameran perdagangan, seminar perkongsian dan pemeteraian perjanjian perniagaan di dalamnya menjadi salah satu platform menjana peluang pekerjaan hijau berpendapatan tinggi dan pembangunan kepakaran tempatan untuk pemain industri Malaysia, dengan angka pencapaian yang semakin meningkat tahun demi tahun. Untuk konteks, laporan rasmi daripada pihak MIDA menyatakan sejak 2010 statistik kumulatif potensi pelaburan dan perniagaan (business leads) yang dijana IGEM telah mencecah RM53.1 bilion manakala untuk tahun lalu sahaja IGEM 2024 telah melebihi sasaran dengan mencapai RM10.182 bilion dalam business leads.
Bagi memastikan kesinambungan dan pengukuhan dasar, RMK-13 akan memperkenalkan pendekatan yang lebih strategik untuk mengarusperdanakan teknologi hijau dengan penekanan pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia kepada:
Tadbir urus yang telus dan berkesan melalui penubuhan institusi khusus di bawah Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) bagi menyelaras pelaksanaan agenda hijau, termasuk permulaan infrastruktur pasaran dan percukaian karbon negara;Manfaat langsung kepada rakyat melalui perluasan amalan gaya hidup hijau, perolehan Kerajaan untuk menyokong permintaan domestik terhadap produk hijau melalui GGP, pemerkasaan komuniti bandar rendah karbon, perluasan akses kepada insentif tenaga boleh baharu (contohnya Net Energy Metering dan Solar for Rakyat dikelola PETRA) serta program peningkatan kapasiti ke arah pekerjaan hijau bagi menjana pekerjaan berpendapatan tinggi; danPeningkatan daya saing global dengan menyokong syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui pengiktirafan piawaian produk hijau Malaysia di peringkat global.
Tuan Yang di-Pertua, dengan kesinambungan daripada GTMP kepada dasar baharu di bawah RMK-13, Kerajaan yakin sektor teknologi hijau akan terus menjadi enjin pertumbuhan ekonomi baharu yang bukan sahaja menyokong agenda perubahan iklim negara, malah memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluang pekerjaan, penjimatan kos tenaga, gaya hidup dan kualiti alam sekitar yang lebih baik.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|