Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 39 | Soalan | Tuan Yuneswaran A/L Ramaraj [ Segamat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah strategi khusus yang sedang diambil oleh Kerajaan bagi pembinaan stesen seismik di Segamat untuk memperkukuh sistem pemantauan aktiviti gempa bumi susulan insiden bencana yang berlaku di Segamat pada Ogos 2025.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 4.1 yang berlaku di Segamat, Johor pada 24 Ogos 2025, Kerajaan melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah merangka beberapa langkah khusus bagi memperkukuh sistem pemantauan aktiviti gempa bumi di negara ini, khususnya di Semenanjung Malaysia iaitu:
Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan 1 (RMKe-13 RP1), MET Malaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 yang melibatkan pengukuhan sebanyak dua belas (12) buah stesen seismik di seluruh negara.
Pembinaan dua (2) buah stesen seismik baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaiktaraf empat (4) buah stesen seismik sedia ada daripada jenis Strong Motion kepada Weak Motion di Johor. Langkah ini bertujuan meningkatkan keupayaan sistem dalam mengesan gempa bumi tempatan bermagnitud lemah.
Melaksanakan peningkatan keupayaan Sistem Pengesanan dan Pemprosesan Data SeisComP, dengan penekanan kepada modul pengesanan gempa bumi tempatan supaya kejadian gempa bumi berskala kecil dapat dikesan dengan lebih cepat dan tepat.
MET Malaysia sedang berusaha menyelaras usaha penyelidikan saintifik dan penilaian risiko gegaran akibat gempa bumi tempatan, melibatkan pelbagai agensi teknikal.
Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam memastikan sistem pemantauan gempa bumi negara sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselamatan rakyat dan kestabilan negara.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|