Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 24 | Soalan | Tuan William Leong Jee Keen [ Selayang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah dapatan atau kesimpulan utama daripada Mesyuarat ke 20 (COM-20) Persidangan Jerebu Merentasi Sempadan (AATHP) dan apakah kemajuan yang boleh menjamin bahawa ASEAN dapat mencapai aspirasinya untuk menjadi sebuah rantau bebas jerebu menjelang tahun 2030.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Mesyuarat Ke-20 Committee Under the Conference of the Parties (COM-20) bagi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang diadakan pada 2 September 2025 di Langkawi, Kedah telah merekodkan beberapa dapatan penting serta kemajuan utama ke arah mencapai visi ‘Haze-Free ASEAN’ menjelang tahun 2030 yang antara lain adalah:
terdapat kemajuan dalam rangka kerja serantau yang utama iaitu Second Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation (Second Haze-Free Roadmap) 2023 – 2030 dan Second ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) 2023 – 2030. Perbincangan turut merangkumi ASEAN Investment Framework for Haze-Free Sustainable Land Management (AIFHSLM) di samping kerjasama berterusan akan dilaksanakan bersama rakan dialog antarabangsa;
terdapat perkembangan positif terhadap penubuhan ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) yang akan berpusat di Jakarta, Indonesia. Sehingga Mei 2025, kesemua Negara Anggota ASEAN (AMS) telah menandatangani dokumen Establishment Agreement bagi ACC THPC. Kejayaan ini menyumbang kepada kelancaran penubuhan ACC THPC yang akan berperanan sebagai nadi penyelarasan utama pelaksanaan AATHP termasuk pemantauan kebakaran dan jerebu, perkongsian data dan penyelarasan tindak balas kecemasan di peringkat serantau;
mesyuarat turut menekankan kepentingan pengukuhan sistem amaran awal serantau. Southeast Asia Fire Danger Rating System (SEA-FDRS) yang dibangunkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia turut menunjukkan tahap ketepatan tinggi apabila maklumat Fire Weather Index (FWI) yang direkodkan sentiasa selari dengan amaran yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC);
jumlah keseluruhan titik panas (hotspot) di selatan rantau ASEAN bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025 menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 10% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024, khususnya di kawasan Sumatera dan Borneo. Sub-rantau Mekong pula mencatatkan pengurangan titik panas sekitar 25% berbanding tahun sebelumnya bagi tempoh yang sama. Pencapaian di Sub-rantau Mekong ini menunjukkan kemajuan bagi mencapai sasaran pengurangan 40% bagi tahun 2025 di bawah Pelan Tindakan Chiang Rai 2017; dan
penyertaan Timor-Leste sebagai ahli dalam AATHP turut dipersetujui dan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat perjanjian. Langkah ini mencerminkan kesepaduan dan komitmen AMS dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi mencegah kejadian jerebu merentas sempadan.
Daripada semua dapatan dan kemajuan ini, jelas bahawa ASEAN berada di landasan yang tepat bagi mencapai visi ‘Haze-Free ASEAN’ menjelang 2030. Penambahbaikan teknologi pemantauan secara berterusan, pengukuhan institusi serantau, kerjasama erat dengan rakan dialog antarabangsa serta komitmen kolektif AMS merupakan faktor utama yang akan menjamin kejayaan visi tersebut.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|