Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 22 | Soalan | Dato' Ngeh Koo Ham [ Beruas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan cara dan tindakan yang sedang dan akan diambil oleh Kerajaan untuk memastikan micro-plastic tidak mencemari makanan, minuman dan persekitaran hidup harian kita.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil maklum dan memandang serius berkenaan pencemaran mikroplastik dalam makanan, minuman dan kehidupan harian (Microplastic consumption).
Microplastic consumption, berkemungkinan berlaku akibat daripada pencemaran sisa plastik yang “terlepas” atau “tidak dapat dikutip” atau “terbuang” sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran (leakage of plastic waste into the environment) yang akhirnya akan berakhir di sungai, saliran dan seterusnya ke lautan.
Sehubungan itu, Kementerian telah mengambil pelbagai langkah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna yang dipercayai boleh mengurangkan kesan negatif daripada pencemaran mikroplastik dengan berpandukan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 (Malaysian Plastics Sustainability Roadmap - MPSR) dan Pelan Hala Tuju ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.
Melalui Pelan Hala Tuju ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030, Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah melaksanakan pengenaan “caj pencemaran” ke atas setiap beg plastik sekali guna yang dibekalkan kepada pengguna di premis tetap (premis perniagaan). Pengenaan caj ini berpandukan kepada prinsip “user-pay-principle” sebagai satu bentuk pencegahan dan usaha menghindari penggunaan beg plastik sekali guna yang digunakan dan dibuang secara tidak terkawal, sekaligus mengurangkan pencemaran mikroplastik.
Pengenaan caj pencemaran ini ditambah baik dengan pelaksanaan perintah LARANGAN beg plastik jinjit sekali guna di premis tetap (premis perniagaan) yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang berkaitan mengenai Alam Sekitar (Mesyuarat MEXCOE) mulai 1 Januari 2026. Melalui Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, model ekonomi kitaran digunakan di mana proses pengeluaran, penggunaan, pelupusan dan pengurusan sisa bahan perlu ditambah baik secara lestari melalui prinsip reka bentuk eko (eco-design). Pembangunan product eco-design ini diharap dapat menyokong industri plastik bagi peralihan ke ekonomi kitaran untuk memastikan bahan produk yang digunakan dapat terurai dengan selamat, seterusnya mengurangkan masalah pencemaran mikroplastik.
Pada masa ini, pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 adalah secara sukarela. Justeru, bagi strategi jangka masa panjang, NRES berhasrat untuk meneroka keperluan pemerkasaan perundangan secara khusus berkaitan pelestarian plastik menerusi Kajian Kebolehlaksanaan Pengukuhan Kerangka Undang-Undang Pencemaran Plastik di Malaysia. Kajian ini akan melihat kewajaran untuk mewujudkan perundangan khusus atau memperkasakan perundangan sedia ada, sekaligus mempercepat peralihan pengurusan dan penggunaan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pencemaran plastik dan mikroplastik.
Akhir sekali, Kerajaan sentiasa komited dalam menangani masalah pencemaran mikroplastik dalam makanan, minuman dan persekitaran kehidupan harian. Kerajaan akan memastikan langkah berterusan bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang diambil dalam menambahbaik pengurusan dan penggunaan plastik berpandukan prinsip lestari bagi memastikan masalah ini dapat diatasi.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|