Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 01 December 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 16 | Soalan |
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [ Temerloh ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah menyeluruh Kementerian bagi memastikan kelestarian sungai, parit, kolam, lombong dan sistem pengairan di seluruh negara memandangkan keadaan alam sekitar ketika ini amat teruk dengan pencemaran air yang tidak terurus sehingga menyebabkan kematian ikan ternakan seperti patin.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan ke atas punca-punca industri yang berpotensi menghasilkan pencemaran air sungai sebagaimana bidang kuasa yang telah diperuntukkan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. JAS juga menjalankan program pengawasan kualiti air sungai di Malaysia melalui 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai.
JAS telah mengambil langkah-langkah berikut bagi mengawal pencemaran sungai:
meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap kilang-kilang yang beroperasi dan berpotensi mencemarkan sungai bagi memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya. Penguatkuasaan ini termasuk pemeriksaan ke atas kilang yang dilaksanakan secara berkala, siasatan penguatkuasaan ke atas aduan yang diterima, penguatkuasaan melalui kaedah Guided Self-Regulation (GSR), notifikasi dan pelaporan alam sekitar secara atas talian (online environmental reporting - OER);
mengenalpasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus;
mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana kilang yang gagal mematuhi AKAS 1974 seperti “Penahanan Operasi” terhadap mana-mana mesin, kelengkapan atau peralatan yang melepaskan pencemaran yang ketara mengikut prosedur ditetapkan. Notis Arahan juga dikeluarkan untuk mengarahkan pihak kilang supaya mengambil langkah-langkah pembaikan dan mengemukakan maklumat atau maklumbalas kepada JAS;
mewajibkan setiap premis melantik seorang kakitangan yang kompeten (Orang Yang Berwibawa) dalam memastikan sistem pengolahan efluen industri sentiasa berfungsi di tahap yang terbaik; dan
melakukan pemantauan atau intipan menggunakan dron secara berterusan bagi mengesan dan mengenal pasti punca pencemaran di sepanjang sungai khususnya di kawasan berhampiran zon perindustrian.
Selain daripada aspek penguatkuasaan dan pemantauan di bawah AKAS 1974, NRES melalui JAS turut mengukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawal Selia Air Negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pihak Berkuasa Tempatan, Syarikat Indah Water Konsortium dan Syarikat Bekalan Air di peringkat negeri bagi memperkemaskan lagi tindakan penguatkuasaan dan pemantauan sungai secara berterusan.
Namun begitu, isu pencemaran sungai di negara ini amat penting untuk ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya melibatkan sektor industri tetapi juga melibatkan sektor-sektor lain seperti perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna. Di samping itu, sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang dan dihanyutkan ke sungai juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|