Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 25 November 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Ukur dan Pemetaan | Nombor Soalan | 39 | Soalan | Dato Henry Sum Agong [ Lawas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sama ada garis persempadanan di antara negara Brunei Darussalam dan Sarawak di daerah Lawas (sempadan Temburong Brunei dan Mengkalap) telah ditentukan.
| Jawapan |
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat Malaysia - Brunei Darussalam dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan Jabatan Ukur Negara Brunei Darussalam melalui platform Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat antara Malaysia dan Brunei Darussalam (Joint Technical Committee on the Demarcation and Survey of the Land Boundary between Malaysia and Brunei Darussalam - JTC).
Hasil kerja-kerja penandaan dan pengukuran ini kemudiannya dibentangkan dalam Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat antara Malaysia dan Brunei Darussalam (Malaysia - Brunei Darussalam Joint Land Boundary Committee - LBC) untuk disahkan, sebelum dimuktamadkan dalam Mesyuarat Pelaksanaan Exchange of Letters (EOL) yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar Negeri kedua-dua negara.
Jarak keseluruhan sempadan darat Malaysia - Brunei Darussalam dianggarkan sepanjang 528.45 km dan dibahagikan kepada sepuluh (10) sektor. Daripada jumlah tersebut, 214.638 km atau kira-kira 41% telah selesai ditanda dan diukur sehingga Oktober 2025. Kawasan Mengkalap di daerah Lawas, Sarawak yang bersempadan dengan kawasan Temburong, Brunei Darussalam terletak di Sektor K-L yang dianggarkan sepanjang 105.20 km.
Kerja-kerja penandaan dan pengukuran bagi sektor ini telah dimulakan pada tahun 2016 dan sebahagiannya telah siap pada tahun 2020 dengan jarak 39.883 km. Jajaran ini telah dimuktamadkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa 1 yang telah dimeterai pada 26 Ogos 2024. Kerja-kerja penandaan dan pengukuran bagi baki Sektor K-L sepanjang kira-kira 65.317 km disasarkan untuk diselesaikan pada tahun 2028.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|