Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

25 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

31

Soalan

Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi [ Sri Aman ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah Kementerian mengukuhkan kesiapsiagaan negara berikutan beberapa gempa bumi kecil di Johor khususnya melalui pemetaan sesar, kod bangunan dan amaran awal.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,


Pemetaan Sesar


  1. Kementerian menerusi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan projek pemetaan sesar aktif dari tahun 2016 hingga 2020. Berdasarkan kajian geologi yang dilaksanakan oleh Jabatan  Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), terdapat sebelas (11) Zon Sesar telah dipetakan di Malaysia iaitu:


Semenanjung:

  1. Sesar Bukit Tinggi (Pahang), 

  2. Sesar Bokbak (Kedah–Perak), 

  3. Sesar Terengganu (Terengganu), 

  4. Sesar Banding (Perak), 

  5. Sesar Kuala Pilah (Negeri Sembilan), dan 

  6. Sesar Mersing (Johor).


Sarawak:

  1. Sesar Tubau (Miri).


Sabah:

  1. Sesar Lobou-Lobou (Ranau)

  2. Sesar Mensaban (Ranau)

  3. Sesar Lahad Datu (Lahad Datu); dan

  4. Sesar Tabin (Lahad Datu)


  1. JMG juga telah memasang enam (6) stesen Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) aktif di Sabah, dan 47 stesen PAG pasif tersebar di enam negeri lain seperti Pahang (13), Selangor (6), Perak (2), Negeri Sembilan (2), Sarawak (2) dan Sabah (22). Sebagai langkah mengukuhkan kesiapsiagaan, JMG bercadang untuk memperluas liputan kawasan kajian pemetaan sesar aktif dan pemasangan PAPS ke kawasan lain terdedah kepada risiko bencana gempa bumi termasuk Johor. 



Kod Bangunan (Rekabentuk Tahan Gempa)


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hasil kajian geologi tektonik dan Peta Bahaya Seismik yang dihasilkan oleh JMG menjadi rujukan penting kepada pihak berkuasa tempatan dan jurutera dalam perancangan pembangunan. Kementerian menyarankan agar input daripada Peta Bahaya Seismik digunakan sebagai rujukan dalam reka bentuk struktur bangunan tahan gempa. Ini bertujuan memastikan pembinaan bangunan baharu, terutamanya di zon bahaya seismik, mengikut standard ketahanan gempa bumi seperti yang digariskan dalam Malaysia National Annex kepada Eurocode 8.


Amaran Awal 


  1. Berhubung dengan amaran awal, untuk makluman Ahli yang Berhormat, gempa bumi tidak boleh diramalkan, namun kejadian tsunami boleh dikesan dan diunjurkan sejurus selepas berlakunya gempa bumi di dasar laut. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengendalikan 80 stesen seismik di seluruh negara disokong oleh 323 stesen antarabangsa. 


  1. Maklumat gempa dan amaran awal tsunami dikeluarkan oleh MET Malaysia dalam tempoh 8 minit selepas pengesanan bagi kejadian yang melebihi magnitud 3.0. MET Malaysia kini sedang menaik taraf sistem pemprosesan data seismik bagi mempercepat pengeluaran maklumat kepada 6 minit menjelang tahun 2026. Selain itu menerusi RMKe-13, MET Malaysia akan menaiktaraf instrumentasi pemantauan seismik di 12 buah stesen seismik di seluruh negara. 


Sekian, terima kasih.



Attachments