Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

14

Soalan

Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy [ Kalabakan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan berapa jumlah sungai di Sabah yang tercemar setakat Ogos 2025, apakah punca sistemik pencemarannya, bagaimana mekanisme pemantauan kualiti air dilaksanakan dan apakah strategi holistik Kementerian memulihkan ekosistem sungai serta melindungi rakyat daripada penyakit bawaan air.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Di Negeri Sabah, terdapat sebanyak 118 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 68 sungai dan dua (2) stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah.


  1. Berdasarkan program pengawasan kualiti air sungai oleh JAS, terdapat lima (5) sungai di Sabah yang dikategorikan sederhana tercemar iaitu dengan nilai Indeks Kualiti Air (IKA) di antara 60 hingga 80. Ia menunjukkan bahawa tiada sungai di Negeri Sabah yang dikategorikan sebagai tercemar. Status kualiti air sungai di Negeri Sabah bagi tempoh lima (5) tahun sejak 2020 sehingga Ogos 2025, secara keseluruhannya menunjukkan kualiti yang baik dengan IKA di dalam Kelas I hingga III.


  1. Antara punca utama pencemaran sungai ialah peningkatan parameter Ammoniacal Nitrogen (AN) yang disebabkan oleh pelepasan kumbahan yang tidak dirawat sepenuhnya dan pelepasan sisa kumbahan daripada aktiviti penternakan. Manakala peningkatan parameter Biochemical Oxygen Demand (BOD) sering dikaitkan dengan punca tidak tetap seperti air larian permukaan dari kawasan perbandaran, pertanian dan tapak pembinaan, limpahan dari tapak pelupusan sampah, sisa domestik yang tidak dirawat, sisa restoran dan pasar serta lain-lain lagi. Efluen perindustrian juga menyumbang kepada peningkatan parameter-parameter ini. 


  1. Pelbagai usaha dan strategi secara holistik telah dilaksanakan oleh NRES melalui JAS bagi memelihara dan memulihara sungai merangkumi perkara-perkara seperti berikut:


  1. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan pencemaran air dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan laporan Environmental Impact Assessment (EIA);


  1. Mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan  pencemaran air supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus; 


  1. Operasi penguatkuasaan dan pemantauan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan dan Negeri seperti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan agensi-agensi lain yang berkaitan;


  1. Semua kesalahan melakukan dan menyebabkan pencemaran air di bawah Seksyen 25, AKAS 1974 akan dikenakan tindakan tegas dengan denda maksimum RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun; dan


  1. Memberi input pembangunan kepada PBT berkaitan dengan penempatan sesuatu aktiviti pembangunan, keperluan langkah-langkah kawalan pencemaran  dan kawalan pencemaran.


  1. NRES melalui JAS juga sedang giat melaksanakan program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang bertujuan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam penjagaan alam sekitar. Ahli RAS berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ Kerajaan dalam melaporkan sebarang aktiviti pencemaran serta terlibat dalam program kesedaran dan gotong-royong.


  1. Kebersamaan dan penyelarasan dengan semua pihak yang terlibat dalam menangani isu-isu kemerosotan kualiti air sungai sentiasa dipertingkatkan termasuk menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengawal penyakit bawaan air bagi memastikan kualiti air sungai Negara akan terus terjamin demi kesejahteraan rakyat.


Sekian, terima kasih.



Attachments