Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

2

Soalan

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [ Kubang Pasu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

  1. apakah cabaran-cabaran yang dihadapi bagi membangun dan memajukan Industri Nadir Bumi (REE) negara; dan

  2. apakah perancangan dan pendekatan Kerajaan bagi mengatasi cabaran-cabaran berkenaan supaya negara dapat 'unlock' potensi nilai RM747 bilion (anggaran) Nadir Bumi yang tersimpan dalam bumi Malaysia.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Walaupun Malaysia mempunyai sumber REE yang signifikan, pembangunan industri ini tidak dapat dilaksanakan dengan pantas disebabkan beberapa cabaran utama. Pertama, negara masih belum mempunyai kepakaran dan teknologi tempatan pada skala komersial bagi melaksanakan aktiviti perlombongan REE. Situasi ini menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada teknologi luar untuk menjalankan aktiviti perlombongan.


  1. Kedua, Malaysia juga masih belum mempunyai loji pemprosesan yang mampu memisahkan unsur REE bernilai tinggi secara komersial. Pada masa ini, rantaian nilai global untuk pemprosesan dan pemisahan REE didominasi oleh China, termasuk kawalan terhadap eksport teknologinya. Kekangan ini menyukarkan Malaysia membangunkan keseluruhan rantaian nilai daripada perlombongan, pemprosesan, hingga penghasilan produk bernilai tambah.


  1. Ketiga, negara berdepan kekurangan data yang komprehensif berhubung lokasi, kuantiti, gred dan status guna tanah sumber REE. Anggaran awal sumber REE oleh JMG masih pada peringkat sumber teragak (inferred resource), dan memerlukan kajian terperinci lanjutan bagi menentukan jumlah sebenar yang boleh dilombong secara ekonomik dan lestari.


  1. Akhir sekali, dasar Kerajaan yang tidak membenarkan perlombongan dalam kawasan sensitif seperti Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), kawasan tadahan air dan rizab perlindungan turut mengehadkan pilihan lokasi yang sesuai bagi pembangunan industri ini. Langkah ini penting bagi menjamin keselamatan alam sekitar, namun pada masa yang sama memerlukan pendekatan berhati-hati untuk menyeimbangkan pembangunan industri dan pemeliharaan sumber semula jadi.


Soalan (b)

 

  1. Kerajaan telah bersetuju supaya strategi pembangunan industri nadir bumi dilaksanakan secara berfasa meliputi jangka pendek (2025–2027), jangka sederhana (2027–2030) dan jangka panjang (selepas 2030). Pada fasa jangka pendek, dasar moratorium pengeksportan mentah REE dikekalkan bagi menggalakkan pelaburan dalam loji penulenan, pemisahan serta penghasilan produk bernilai tambah dalam negara. 


  1. Seterusnya, pada fasa jangka sederhana, Kerajaan menyasarkan pembinaan dan operasi loji pemprosesan tempatan serta menarik pelaburan dalam sektor hiliran bernilai tinggi seperti logam, aloi, super magnet dan komponen kenderaan elektrik. Perancangan ini melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan dan perniagaan serta kerjasama antara pihak industri bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pemindahan teknologi. Matlamat jangka panjang Kerajaan adalah untuk membangunkan rantaian nilai penuh daripada lombong hingga ke kitar semula, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab serantau industri ini. 


Sekian, terima kasih.



Attachments