Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

13 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

32

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah strategik Kementerian memastikan pindaan Akta Biokeselamatan 2007 yang dijangka dipinda tahun 2026 akan melindungi biodiversiti unik Malaysia daripada risiko manipulasi genetik yang boleh merosakkan ekosistem dan ekonomi berasaskan alam semula jadi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Izinkan saya menjelaskan langkah-langkah strategik Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam memastikan pindaan Akta Biokeselamatan 2007 ini benar-benar berperanan untuk melindungi biodiversiti unik Malaysia daripada risiko manipulasi genetik yang boleh menjejaskan ekosistem serta menimbulkan kerugian kepada ekonomi berasaskan sumber semula jadi.


  1. Langkah strategik yang pertama adalah memperkukuhkan struktur tatakelola biokeselamatan Negara dengan penambahan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK). Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepelbagaian biologi yang unik di kedua-dua negeri tersebut sebagai mewakili pandangan dan keperluan seluruh Negara.  


  1. Selain itu, langkah strategik kedua iaitu kewajipan pengisytiharan living modified organism (LMO) kepada Ketua Pengarah Biokeselamatan yang diperkenalkan melalui Seksyen 60A Akta Biokeselamatan yang baharu akan memastikan semua aktiviti kemasukan organisma diubah suai dan hasilannya yang masuk ke Negara di pintu-pintu sempadan Negara akan melalui proses dokumentasi secara telus. Mekanisme ini sekaligus meningkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan.


  1. Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan fungsi penguatkuasaan di pintu masuk Negara. Selaras itu, cadangan pindaan akta juga turut menambah AKPS dalam senarai Pegawai Penguat Kuasa dalam Jadual Ketiga Akta Biokeselamatan 2007 berdasarkan peruntukan di Sekyen 38.


  1. Langkah strategik keempat adalah mewujudkan peruntukan tanggungan dan ganti rugi melalui cadangan Seksyen 37A Akta Biokeselamatan. Melalui peruntukan baharu ini, mana-mana pihak yang menyebabkan kerugian, kerosakan atau kesan buruk kepada kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi akibat aktiviti melibatkan LMO, boleh diarahkan untuk menanggung kos pemulihan atau membayar pampasan kepada pihak yang terkesan.


  1. Pindaan akta ini juga turut memperkukuhkan aspek penilaian risiko. Jika sebelum ini laporan penilaian risiko dan pelan gerak balas kecemasan hanya diwajibkan untuk aktiviti pelepasan atau import, langkah strategik kelima oleh pihak Kementerian dalam pindaan kini mewajibkan penilaian risiko untuk aktiviti kegunaan terkawal di makmal penyelidikan atau fasiliti yang diluluskan. Ini adalah kerana, walaupun aktiviti tersebut dijalankan dalam ruang terkawal, potensi risiko tetap wujud sekiranya berlaku kebocoran atau kecuaian.


  1. Sebagai penutup, saya ingin menegaskan bahawa pindaan Akta Biokeselamatan 2007 ini bukan semata-mata bersifat teknikal, tetapi merupakan satu langkah strategik Negara untuk memastikan bahawa pembangunan bioteknologi moden bergerak seiring dengan perlindungan alam sekitar dan kepelbagaian biologi. Dengan adanya pindaan ini, Malaysia dapat melaksanakan tanggungjawab antarabangsa, melindungi khazanah biodiversiti tempatan serta memastikan kesejahteraan ekonomi berasaskan sumber semula jadi terus terjamin untuk generasi akan datang.


Sekian, terima kasih.



Attachments