Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 13 November 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 30 | Soalan | Tuan Hassan bin Saad [ Baling ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan strategi Kementerian dalam membangunkan rantaian penuh industri nadir bumi daripada huluan hingga hiliran agar memberi pulangan maksimum kepada negara.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan menetapkan matlamat untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri unsur nadir bumi (REE) merangkumi aktiviti perlombongan, pemprosesan, penghasilan produk bernilai tambah, sehinggalah kepada penggunaan semula bahan REE. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan telah merangka strategi pembangunan industri REE secara berfasa merangkumi fasa jangka pendek bermula tahun 2025 hingga 2027, fasa jangka sederhana bermula tahun 2027 hingga 2030 dan fasa jangka panjang selepas tahun 2030.
Sebagai sokongan untuk pembangunan industri di peringkat pertengahan, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah moratorium pengeksportan mentah REE pada fasa jangka pendek. Dalam masa yang sama, rundingan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara giat dijalankan untuk memastikan loji pemprosesan tempatan bagi penulenan dan pemisahan elemen REE, kilang pembuatan logam atau aloi REE, serta kilang pembuatan super magnet diwujudkan di Malaysia. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalakkan untuk terlibat dalam usaha ini bagi memastikan berlaku pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan.
Dalam masa yang sama, Kerajaan juga menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan tempatan dalam merealisasikan matlamat pewujudan industri pemprosesan dalam negara. Beberapa syarikat tempatan pada ketika ini sedang menjalankan usaha tersebut dengan kerjasama kepakaran dalam dan luar negara. Namun demikian, ia masih bergantung kepada penilaian daya maju dan mengambil kira faktor seperti sumber bahan mentah, kapasiti kewangan dan permintaan pasaran.
Pada fasa jangka sederhana, larangan pengeksportan mentah REE akan diteruskan mengambil kira jangkaan loji pemprosesan telah wujud di dalam negara untuk memproses sumber REE tempatan. Industri REE di peringkat pertengahan pada fasa ini boleh menerima input sumber dari luar negara dan hasil pengeluarannya pula boleh dieksport sekiranya permintaan tempatan telah dipenuhi. Pada fasa ini juga, rundingan untuk menarik pelabur bagi membangunkan industri pembuatan motor elektrik dan kitar / guna semula REE dibuat bagi memastikan industri REE negara mempunyai rantaian nilai yang lengkap.
Seterusnya, pada fasa jangka panjang, Malaysia disasarkan untuk memiliki rantaian industri yang lengkap bermula dari aktiviti perlombongan hingga kepada industri kitar / guna semula dan menjadi hab industri REE serantau dan global.
Bagi memastikan pelaksanaan strategi ini berjalan lancar, Kerajaan telah menubuhkan Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri REE melibatkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam selaku Pengerusi Special Task Force, dan keahlian terdiri daripada Menteri Ekonomi, YB Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Menteri Kewangan II dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Penubuhan Special Task Force ini merupakan satu langkah strategik bagi memastikan tindakan dan inisiatif dalam membangunkan industri ini dibuat dengan lebih bersinergi.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|