Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

13 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

22

Soalan

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana Kementerian telah mengemaskini peta bahaya seismik negara berdasarkan data gempa bumi terkini di Segamat, Johor, menilai keberkesanan kod bangunan Malaysia terhadap risiko seismik sederhana serta memperkukuh rangkaian stesen seismik bagi tujuan pemantauan saintifik dan pemberian amaran awal.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia dan Penilaian Keberkesanan Kod Bangunan 


Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Malaysia pada tahun 2017 berdasarkan maklumat gempa bumi bermula tahun 2017 dan sebelumnya. Manakala maklumat geologi tektonik tempatan yang diambilkira adalah sesar aktif tempatan di negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak. Dari sudut teknikal, peta yang telah berusia lebih tujuh (7) tahun wajar dikaji semula bagi memastikan standard kejuruteraan dan piawaian dan perancangan pembangunan sentiasa sejajar dengan maklumat risiko terkini. 


Peta Bahaya Seismik Malaysia telah digunapakai sebagai input  bagi piawaian Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance- Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia. Peta bahaya seismik ini masih relevan dan  perlu dikemaskini dari semasa ke semasa.

 

Kementerian melalui JMG akan mengangkat Kertas Cadangan Projek Pemerkasaan Peta Bahaya Seismik Malaysia pada awal tahun 2026 untuk pertimbangan pihak Kerajaan. Pengemaskinian peta bahaya seismik ini akan merangkumi kajian pemetaan sesar aktif dan pemasangan stesen penanda aras pergerakan sesar (baharu). Ia akan diperluaskan ke negeri-negeri yang dikenalpasti mempunyai kawasan sesar dan terdedah risiko bencana geologi gempa bumi. 


Pengukuhan Rangkaian Stesen Seismik Dan Amaran Awal

Kementerian melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini mengoperasikan 80 buah stesen seismik di lokasi strategik seluruh negara dan data seismik ini disalurkan melalui talian komunikasi satelit secara masa nyata (real-time).  Selain itu, MET Malaysia turut menerima input data seismik masa nyata daripada 323 stesen seismik antarabangsa.

Menerusi Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah RMKe-13, ia akan melibatkan pengukuhan 12 stesen seismik, pembinaan dua (2) stesen baharu di Segamat dan Muar, serta menaiktaraf empat (4) stesen sedia ada di Johor bagi meningkatkan keupayaan mengesan gempa bumi tempatan bermagnitud lemah.  


Sekian, terima kasih.



Attachments