Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

13 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

10

Soalan

Dato' Azman bin Nasrudin [ Padang Serai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan kenapa progress piawaian operasi (SOP) untuk perlombongan REE dilihat agak perlahan berbanding dengan industri perlombongan lain.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ingin menjelaskan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) telah disediakan berpandukan kepada SOP Negeri Perak dan telah diluluskan oleh Majlis Mineral Negara (MMN) pada 8 Mei 2023. SOP ini kemudiannya diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023 untuk disesuaikan kepada keperluan perundangan negeri masing-masing. SOP ini merupakan dokumen panduan menyeluruh yang merangkumi aspek teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.


  1. Walaupun semua jenis perlombongan tertakluk kepada keperluan undang-undang dan penilaian kesan alam sekitar, pelaksanaan SOP REE dilihat lebih perlahan kerana setiap negeri perlu menyesuaikan dokumen ini dengan perundangan berkaitan pembangunan mineral di negeri masing-masing khususnya Enakmen Mineral Negeri. Sehingga kini, hanya Negeri Perak yang telah melaksanakan projek perlombongan REE setelah memperoleh semua kelulusan di peringkat Persekutuan dan Negeri berdasarkan SOP yang telah dibangunkan.


  1. Selain itu, sifat industri REE sendiri menuntut pendekatan lebih berhati-hati berbanding mineral lain. Teknik perlombongan in-situ leaching (ISL) yang digunakan masih baharu dan tidak pernah digunakan untuk perlombongan mineral-mineral lain di Malaysia, maka ia memerlukan penelitian yang lebih rapi. Teknik tersebut memerlukan penilaian impak alam sekitar (EIA) serta penilaian impak sosial (SIA) yang lebih terperinci sebelum aktiviti perlombongan boleh dijalankan.


  1. Pada masa yang sama, sebahagian besar data anggaran sumber REE yang dimiliki pada masa ini masih berada pada peringkat sumber teragak (inferred resource), manakala banyak kawasan berpotensi terletak berhampiran Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). Dalam hal ini, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang melaksanakan kajian impak perlombongan REE dalam ekosistem hutan yang akan menjadi asas saintifik kepada sebarang keputusan dasar berkaitan dengannya.


  1. Meskipun terdapat tekanan supaya industri ini dibangunkan segera, Kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan bahawa pembangunan industri REE khususnya di peringkat perlombongan dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan berlaku insiden yang tidak diingini, terutamanya pencemaran alam sekitar yang sukar dipulihkan serta memerlukan perbelanjaan yang besar.


Sekian, terima kasih.

Attachments