Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

33

Soalan

Dato' Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [ Pekan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana keberkesanan sistem amaran awal (Early Warning System) dalam memberi makluman secara pantas dan menyeluruh berkaitan ancaman bencana dan adakah Kementerian bercadang untuk menambah baik sistem ini melalui integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk liputan lebih menyeluruh terutamanya di kawasan pedalaman.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Sistem amaran awal bencana di Malaysia ketika ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Sistem ini telah terbukti berkesan dalam memberi amaran awal berkaitan bencana seperti ribut petir, hujan lebat, banjir, tanah runtuh, kepala air serta jerebu.


  1. Daripada segi ekonomi, perbelanjaan yang dilakukan bagi mewujudkan sistem amaran awal berkaitan bencana akan mengurangkan risiko kerugian yang lebih besar. Laporan daripada Global Assessment Report on Disaster Risk Reduction oleh United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) menyatakan bahawa setiap perbelanjaan bagi sistem amaran awal akan mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda sehingga hampir empat (4) kali ganda. Negara kita telah mengalami kerugian berjumlah RM0.9 billion pada tahun 2024 akibat bencana banjir dan merupakan peningkatan berbanding RM0.8 billion pada tahun sebelumnya. Usaha mewujudkan sistem amaran awal ini perlu dilaksanakan bagi memastikan kerugian ini dapat diminimumkan.


  1. Kementerian juga menyedari bahawa keberkesanan sesuatu sistem bukan sahaja bergantung kepada ketepatan ramalan, tetapi juga kepada aspek capaian dan kelajuan penyampaian maklumat. Di kawasan bandar, penyampaian amaran melalui Laman Web, SMS, aplikasi mudah alih, media sosial dan siaran radio/televisyen adalah lebih pantas dan meluas. Tetapi, bagi kawasan pedalaman dan luar bandar, terdapat cabaran dari segi liputan telekomunikasi dan tahap kesedaran komuniti.


  1. Sehubungan itu, kementerian melalui agensi-agensi teknikal kini sedang meneroka integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), machine learning dan big data analytics dalam memperkukuh sistem ramalan dan amaran awal. Contohnya, MET Malaysia kini sedang melaksanakan Projek Peningkatan Sistem Ramalan Cuaca Numerikal (NWP) dengan mengadaptasi teknologi Sistem Komputer Berprestasi Tinggi (High Performance Computing (HPC)) yang terkini. Sistem ini akan membolehkan penjanaan produk-produk ramalan dihasilkan sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi yang lebih tinggi pada 300 meter berbanding 1 kilometer sebelum ini bagi mendapatkan perincian yang lebih baik pada sesuatu kawasan yang dijangka mengalami bencana berkaitan cuaca.


  1. Projek ini turut merangkumi penaiktarafan sistem penyampaian perkhidmatan meteorologi, termasuk pembangunan aplikasi mudah alih myCuaca 2.0 yang lebih dinamik dan berasaskan lokasi geografi pengguna. Melalui aplikasi ini, amaran cuaca buruk dapat disalurkan terus mengikut lokasi semasa pengguna, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat, khususnya di kawasan pedalaman.


  1. Pada masa yang sama, MET Malaysia juga memperluaskan saluran penyampaian ramalan dan amaran cuaca melalui pelbagai medium termasuk media sosial rasmi (Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube), laman sesawang Jabatan serta media massa seperti televisyen dan radio bagi memastikan capaian maklumat yang lebih menyeluruh kepada rakyat.


Sekian, terima kasih.



Attachments