Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 04 November 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 31 | Soalan | Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [ Simpang Renggam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sama ada Kementerian akan membuat pindaan terhadap sasaran dasar perubahan iklim apabila negara seperti Amerika Syarikat membatalkan komitmen mereka dalam perjanjian Paris 2015.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris secara umumnya tidak menjejaskan komitmen sedia ada negara-negara lain termasuk Malaysia untuk mengubah sasaran iklimnya. Ini kerana, Perjanjian Paris digubal dengan prinsip “tanggungjawab bersama, beban berbeza dengan keupayaan sendiri” yang bermaksud walaupun perubahan iklim dialami oleh semua negara, tanggungjawab untuk menanganinya wajar dipikul semua negara terutamanya oleh negara maju yang lebih berkeupayaan berbanding negara membangun.
Dalam hal ini, negara-negara maju lain seperti Kesatuan Eropah, Jepun, Australia dan lain-lain kekal komited untuk melaksanakan tindakan iklim bagi mencapai matlamat Perjanjian Paris. Pada masa yang sama, negara-negara membangun yang berpengaruh dalam ekonomi dunia seperti China, India, Afrika Selatan dan Brazil juga akan turut kekal melaksanakan obligasi masing-masing di bawah Perjanjian Paris.
Malaysia selaku negara ahli kepada Perjanjian Paris sejak 16 November 2016 juga masih tidak berganjak dengan pendirian sebelum ini untuk melaksanakan obligasinya di bawah Perjanjian Paris. Dalam hal ini, Malaysia telah memenuhi pelbagai obligasi negara di bawah perjanjian tersebut. Antara obligasi terkini yang telah dipenuhi oleh Malaysia adalah seperti berikut:
penyediaan pelbagai pelaporan perubahan iklim negara di bawah UNFCCC dan yang terkini penyediaan First Biennial Transparency Report (BTR-1) pada tahun 2024;
penetapan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) negara di bawah Perjanjian Paris melalui Nationally Determined Contributions (NDC). Malaysia telah mengemukakan NDC ketiga (NDC 3.0) Malaysia kepada Perjanjian Paris di bawah UNFCCC pada 24 Oktober 2025. Melalui NDC 3.0 Malaysia dijangka mencapai pelepasan GHG puncak (peaking) antara tahun 2029 hingga 2034. Malaysia berusaha untuk mencapai pelepasan puncak tersebut menjelang tahun 2030, tertakluk kepada ketersediaan sokongan dan syarat pemudah lain (enabling conditions). Sejajar dengan trajektori ini, Malaysia berhasrat untuk mencapai pengurangan mutlak sebanyak 15 – 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2035 berbanding aras pelepasan puncak. Sasaran ini merangkumi pengurangan tanpa syarat sehingga 20 MtCO₂eq, dengan tambahan pengurangan sebanyak 10 MtCO₂eq secara bersyarat tertakluk kepada ketersediaan pembiayaan perubahan iklim, pemindahan teknologi, serta sokongan pembangunan kapasiti daripada sumber antarabangsa; dan
menetapkan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih menjelang tahun 2050.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|