Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

17

Soalan

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [ Kuala Krau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan Kementerian sebagai persediaan menghadapi kejadian gempa ​​​bumi yang semakin kerap termasuk aspek kesiapsiagaan dan keperluan piawaian bangunan baharu serta langkah-langkah yang telah dilakukan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kesiapsiagaan Menghadapi Gempa Bumi


  1. Bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kejadian gempa bumi, Kementerian melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan memperkukuh sistem pemantauan aktiviti gempa bumi di negara ini:

  1. Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan 1 (RMKe-13 RP1), MET Malaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 yang melibatkan pengukuhan dua belas (12) buah stesen seismik di seluruh negara, pembinaan dua (2) stesen seismik baharu di Segamat dan Muar, Johor serta naiktaraf empat (4) stesen seismik di Johor. 

  2. MET Malaysia juga sedang melaksanakan peningkatan keupayaan Sistem Pengesanan dan Pemprosesan Data SeisComP, dengan penekanan kepada modul pengesanan gempa bumi tempatan supaya kejadian gempa bumi berskala kecil dapat dikesan dengan lebih cepat dan tepat.

  3. JMG turut menjalankan pemantauan ke atas 53 Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) yang telah dibina di kawasan zon sesar  di seluruh negara dan merupakan rujukan penting dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik.

  4. Selain MetMalaysia dan JMG, agensi lain seperti NADMA, JKR, PDRM dan APM turut mempunyai peranan dalam kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan. Latihan simulasi dan program kesedaran awam juga dijalankan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat.


Keperluan Piawaian Bangunan Baharu


  1. Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah membangunkan Malaysian Standard (MS) berkaitan reka bentuk bangunan bagi tahan gempa bumi iaitu MS EN 1998-1:2015 dengan menggunapakai (adoption) standard Eropah iaitu Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance - Part 1: General rules, seismic action and rules for buildings serta Malaysia National Annex to Eurocode 8. Standard ini menyediakan garis panduan terperinci reka bentuk struktur bangunan yang tahan terhadap gegaran gempa bumi. Dokumen MS EN 1998-1 telah dirujuk dalam Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 (pindaan 2021). Walau bagaimanapun, penguatkuasaannya adalah tertakluk kepada kerajaan negeri.


  1. Peta Bahaya Seismik yang diterbitkan oleh JMG pada tahun 2017 telah digunakan sebagai input bagi piawaian rekabentuk bangunan tersebut. Dari sudut teknikal, peta yang telah berusia lebih tujuh (7) tahun wajar dikaji semula bagi memastikan standard kejuruteraan dan piawaian pembangunan sentiasa sejajar dengan maklumat risiko terkini. Sehubungan itu, pengemaskinian peta bahaya seismik Malaysia ini dijalankan secara berterusan dan berkala dengan kerjasama agensi kerajaan seperti METMalaysia, JKR, JSM dan pihak akademia (universiti penyelidikan) bagi untuk rujukan pembangunan negara yang selamat.


  1. Selain itu, pemakaian Peta Bahaya Seismik juga digunakan oleh JMG dalam memberikan ulasan pembangunan cadangan pemajuan yang melibatkan kawasan sesar aktif yang terdedah kepada risiko bahaya seismik diakibatkan oleh gempa bumi. 


Sekian, terima kasih.



Attachments