Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 November 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

2

Soalan

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Bin Mokhtar [ Kemaman ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan pencapaian sasaran nilai penjanaan Pelaburan Hijau dan bilangan peluang Pekerjaan Hijau bagi tahun 2024 seperti yang dinyatakan di dalam Dokumen Pelan Strategik NRES 2024-2030 dan cabaran utama yang dihadapi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sejajar dengan sasaran yang telah digariskan di dalam Pelan Strategik NRES 2024–2030, Kementerian melalui agensi berkaitan seperti Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penganjuran International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM), pelaksanaan Green Technology Financing Scheme (GTFS) dan Green Investment Tax Allowance (GITA) serta pengukuhan pelaksanaan Government Green Procurement (GGP).

  1. Bagi tahun 2024, nilai penjanaan Pelaburan Hijau adalah sebanyak RM7.883 bilion, meliputi sumbangan daripada inisiatif Green Investment Tax Allowance (GITA), Green Technology Financing Scheme (GTFS) 4.0 serta IGEM. Sumbangan ini termasuk komitmen pelaburan yang diraih menerusi siri IGEM sejak 2020 yang telah berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini.

  1. Dari segi peluang pekerjaan, inisiatif ini telah menyumbang kepada penciptaan lebih daripada 2,000 peluang Pekerjaan Hijau pada tahun 2024. Pekerjaan ini merangkumi sektor kejuruteraan tenaga boleh baharu, audit tenaga, sustainable finance, pengurusan sisa, pakar life cycle assessment (LCA) serta bidang environmental, social and governance (ESG) yang semakin mendapat permintaan tinggi.

  1. Walau bagaimanapun, Kementerian berdepan dengan beberapa cabaran utama dalam memastikan pencapaian sasaran, antaranya:
  1. Akses pembiayaan hijau – masih terdapat kekangan bagi syarikat kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan dana pada kadar kos yang berdaya saing;
  2. Kapasiti tenaga kerja mahir – keperluan pakar teknikal dalam bidang teknologi hijau, LCA dan ESG masih belum mencukupi berbanding permintaan;
  3. Kesedaran industri dan masyarakat – tahap kefahaman mengenai kepentingan pelaburan hijau dan manfaat jangka panjang pekerjaan hijau perlu terus dipertingkatkan; dan
  4. Cabaran global – ketidaktentuan ekonomi dunia, kadar faedah, serta aliran perdagangan antarabangsa memberi kesan kepada aliran pelaburan.

  1. Justeru, Kementerian akan terus memperkukuhkan kerangka dasar dan kawal selia, meningkatkan kapasiti tenaga kerja hijau melalui latihan serta bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan komuniti antarabangsa bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Strategik NRES 2024–2030 dapat dicapai.

Sekian, terima kasih.

Attachments