Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 23 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 26 | Soalan | Tuan Sim Tze Tzin [ Bayan Baru ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan senaraikan semua mineral yang ditakrif sebagai kritikal mineral oleh Kementerian. Apakah strategi dan hala tuju Kerajaan dari segi dasar, perundangan, perlombongan, pemprosesan, R&D, intellectual property, perlindungan alam sekitar, latihan tenaga kerja dan sokongan kewangan dalam sektor penuh potensi tetapi berisiko ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada ketika ini masih belum mempunyai senarai rasmi mineral kritikal bagi negara. Walau bagaimanapun, Kerajaan melalui Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021–2030 (TIM 2021–2030), telah mengenal pasti lima mineral strategik utama berdasarkan potensi sumber dan nilai ekonomik pada ketika itu, iaitu bauksit, bijih timah, pasir silika, kaolin dan unsur nadir bumi (REE).
Strategi dan hala tuju kerajaan dari segi dasar dan perundangan, NRES memastikan setiap projek perlombongan mematuhi peruntukan perundangan berkaitan dibawah akta-akta berkaitan seperti Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, di samping bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri bagi pematuhan perundangan berkaitan di peringkat negeri. NRES juga sentiasa menambah baik rangka kawal selia bagi memastikan aktiviti perlombongan dan pemprosesan mematuhi piawaian keselamatan, kesihatan dan alam sekitar. Penyelarasan dilaksanakan melalui Majlis Mineral Negara serta mekanisme libat urus lain bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan tadbir urus mineral dilaksanakan dengan berkesan.
Dari aspek pembangunan teknologi dan kepakaran, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerajui inisiatif melalui National Advanced Materials Technology Roadmap (NAMTR) 2021–2030 dan National Advanced Materials Consortium (NAMC) yang menjadi pusat sehenti bagi penyelidikan, pengkomersialan dan pembangunan teknologi, termasuk REE. Fokus turut diberi kepada pembangunan teknologi hiliran seperti magnet berprestasi tinggi dan kitar semula mineral kritikal daripada sisa peralatan.
Dari segi pelaburan dan industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaksanakan pelan tindakan selaras dengan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 yang menekankan pembangunan bahan termaju dan pemindahan teknologi melalui kerjasama antarabangsa bagi membina ekosistem REE yang berdaya saing. Syarikat yang melaksanakan aktiviti pemprosesan REE layak dipertimbangkan insentif di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 serta diwajibkan memperoleh Lesen Pengilang (ML) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|