Tuan Yang di-Pertua,
Pengurusan tanah Persekutuan yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) adalah merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara [Akta 828]. Bagi urusan serah balik tanah Persekutuan, PTP boleh menyerah tanah yang tidak dibangunkan atau terbiar selaras dengan Perkara 86 Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan Jemaah Menteri pada 25 Julai 1990 (No. 404/1731/90) telah bersetuju supaya Kerajaan Negeri memohon tanah-tanah yang tidak dibangunkan atau terbiar untuk diserah balik kepada Kerajaan Negeri termasuk perkara di bawah Perjanjian Malaysia (MA63). Berdasarkan permohonan serah balik sebanyak 219 lot tanah oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyerahkan secara berfasa. Pada peringkat awal, sebanyak 64 lot telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Baki lot tanah sedang dalam semakan dengan Kementerian/Jabatan Pengguna (KJP) untuk cadangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Sekian, terima kasih.