Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 23 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 7 | Soalan | Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman [ Muar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan persediaan bagi menghadapi kejadian gempa bumi terutamanya bagi kawasan yang tidak pernah mengalaminya : apakah langkah pemberitahuan awal kepada masyarakat untuk bersedia; dan tindakan pencegahan bagi mengawal kejadian itu bertambah buruk.
| Jawapan | Tuan Yang Di-Pertua,
Walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara kita tetap terdedah kepada gegaran akibat gempa bumi besar yang berlaku di Indonesia dan Filipina serta kejadian gempa bumi tempatan berskala kecil, khususnya di Sabah, Sarawak dan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
Gempa bumi tidak boleh diramalkan, manakala kejadian tsunami boleh diramalkan selepas berlaku gempa bumi di dasar laut. Sehingga kini, tidak ada teknologi yang mampu untuk meramalkan kejadian gempa bumi sebelum ianya berlaku.
Namun demikian, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), komited dalam memperkukuh pemantauan gempa bumi serta pengeluaran amaran awal tsunami melalui Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM). Sistem ini beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, dikendalikan oleh Pusat Operasi Gempa Bumi dan Tsunami Nasional.
Maklumat gempa dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh 8 minit selepas pengesanan, disalurkan kepada agensi berkaitan dan orang awam melalui pelbagai saluran komunikasi. MET Malaysia juga sedang menaik taraf sistem bagi mempercepat pengeluaran maklumat kepada 6 minit menjelang 2026.
Kini terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara, disokong oleh 323 stesen antarabangsa dengan data masa nyata. MET Malaysia turut bekerjasama rapat dengan Pacific Tsunami Warning Centre (PTWC), South China Sea Tsunami Advisory Center (SCSTAC) dan Indian Ocean Tsunami Warning & Mitigation System (IOTWMS) bagi memastikan amaran lebih awal, tepat dan diyakini.
Antara usaha berterusan yang dijalankan oleh Kementerian melalui MET Malaysia dan Jabatan MIneral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi mengurangkan risiko bencana termasuk gempa bumi adalah seperti berikut:
Menjalankan program kesedaran awam dan latihan simulasi gempa serta tsunami bersama komuniti setempat dan agensi responder/ penyelamat; Mengemaskini data, rekod dan peta bahaya seismik negara secara berkala; Memperluas kajian pemetaan sesar aktif dan penilaian risiko bencana di zon berisiko; Menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran teknikal kepada agensi tindak balas bencana.
Selain itu, pemakaian Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance- Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings yang diterbitkan Jabatan Standard Malaysia oleh pemaju dan pihak berkuasa tempatan juga penting bagi memastikan reka bentuk tahan gempa dan mitigasi kejuruteraan yang bersesuaian diambil kira dalam pembangunan di kawasan berisiko.
Usaha bersepadu ini memastikan kesiapsiagaan negara terhadap ancaman gempa bumi dan tsunami sentiasa dipertingkat bagi melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|