Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

15 October 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

46

Soalan

Tuan Sim Tze Tzin [ Bayan Baru ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan masalah yang dihadapi oleh Kementerian dalam memajukan sektor critical mineral dan rare earth terutamanya berhadapan dengan Kerajaan Negeri. Bagaimanakah Kerajaan menangani masalah penyeludupan rare earth, nyatakan jumlah tan metrik yang berjaya disekat oleh pihak berkuasa pada 2024 dan 2025.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kerajaan Persekutuan komited bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan sektor mineral kritikal dan unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan secara bertanggungjawab serta mampan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar moratorium eksport REE mentah sejak 2023 menimbulkan cabaran kepada negeri kerana aktiviti perlombongan tidak dapat menjana pulangan segera. Dasar ini digubal bagi mengelakkan eksploitasi sumber secara mentah tanpa nilai tambah dan sebaliknya menggalakkan pembangunan penuh rantaian industri dalam negara.


  1. Selain itu, pembangunan sektor REE turut berdepan cabaran dari segi ketersediaan teknologi pemprosesan dalam negara. Malaysia masih belum mempunyai loji pemprosesan tempatan yang mampu mengasingkan unsur REE bernilai tinggi. Ketika ini, China menguasai hampir keseluruhan rantaian nilai global REE termasuk pemprosesan dan telah mengenakan larangan eksport teknologi bagi mengekalkan dominasi tersebut. Keadaan ini menyebabkan Malaysia terpaksa mempertimbangkan rundingan dengan syarikat seperti Lynas untuk memproses sumber mentah REE tempatan, di samping meneruskan usaha menjalin kerjasama teknologi dengan China. Dalam masa yang sama, Kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti dan kepakaran tempatan.


  1. Selain itu, isu yang dihadapi dalam pembangunan industri ini adalah dasar sedia ada yang masih kekal tidak membenarkan aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan rizab perlindungan. Pihak negeri membangkitkan supaya penilaian semula dibuat terhadap dasar ini. Di pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), bagi menilai secara saintifik kebolehlaksanaan perlombongan di kawasan hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah diminta menjalankan kajian komprehensif selama lima tahun dan hasil kajian ini akan menjadi asas pertimbangan Kerajaan dalam sebarang keputusan dasar berkaitan aktiviti perlombongan di HSK.


  1. Berhubung dengan isu penyeludupan sumber yang dibangkitkan, Kementerian memandang serius isu pencerobohan tanah Kerajaan dan aktiviti perlombongan haram yang boleh menjejaskan hasil negara serta kelestarian alam sekitar. Dari sudut perundangan, NRES melalui JMG menguatkuasakan Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] bagi operasi di atas tenemen yang sah, manakala perlombongan haram tanpa lesen tertakluk kepada bidang kuasa Negeri melalui Enakmen Mineral Negeri (EMN).


  1. Dalam hal ini, Kerajaan telah mengaktifkan dua platform penguatkuasaan utama iaitu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan Operasi Bersepadu Intra-Inter Agensi bagi menangani isu penyeludupan REE. OBK diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) manakala Operasi Intra-Inter Agensi yang diselaras oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), PDRM. Kedua-dua operasi ini menyatukan kepakaran dan aset pelbagai agensi Persekutuan serta negeri bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, mengelakkan ketirisan hasil mineral dan termasuklah membanteras aktiviti perlombongan haram.


  1. Berdasarkan rekod, jumlah rampasan penyeludupan REE yang berjaya disekat pada tahun 2024 dan 2025 adalah sebanyak 39 tan metrik, melibatkan kes di Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor.

 

Sekian, terima kasih.

Attachments