Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan agensi yang mentadbir serta menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya. Akta 127 ini baru sahaja dipinda serta diwartakan pada 6 Jun 2024 serta mula berkuatkuasa pada 7 Julai 2024.
Fokus utama pindaan ini adalah untuk menetapkan had minimum dan maksimum bagi denda sekiranya disabitkan kesalahan. Dalam hal ini, jumlah denda sedia ada telah dinaikkan kepada suatu nilai yang lebih tinggi sehingga RM10 juta. Selain itu, kompaun yang dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan juga dinaikkan daripada tidak melebihi dua ribu ringgit (RM2,000) kepada lima puluh peratus (50%) daripada nilai maksimum denda bagi kesalahan berkenaan.
Tahap Penguatkuasaan
Pada tahun 2024, sejumlah tiga ratus lapan (308) kes pertuduhan di bawah AKAS 1974 yang melibatkan premis telah didenda di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak lapan ribu seratus tiga puluh empat ribu sembilan ratus ringgit (RM8,134,900). Tindakan-tindakan penguatkuasaan lain yang telah diambil ke atas premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah AKAS 1974 adalah pengeluaran sebanyak dua ribu seratus tujuh puluh (2,170) notis arahan supaya premis mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan perundangan yang berkaitan.
Selain itu sebanyak dua ribu lima ratus empat puluh empat (2,544) kompaun telah dikeluarkan ke atas premis kerana kegagalan mematuhi peruntukan perundangan AKAS 1974. Sebanyak sembilan puluh enam (96) premis juga telah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan tujuh (7) premis dikenakan Perintah Larangan untuk beroperasi, manakala sebanyak empat belas (14) premis telah dikenakan tindakan gantung lesen.
Pada tahun 2025, sebanyak enam (6) kes pertuduhan di mahkamah bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 telah dikenakan antara 1 Januari hingga 31 Ogos 2025. Sementara itu, sebanyak seribu sembilan puluh empat (1,094) kompaun telah dikeluarkan di bawah peraturan yang sama.
Kadar Pematuhan
Berdasarkan rekod semasa, sebanyak tiga puluh lima ribu lima ratus lima puluh tujuh (35,557) premis tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Tahap pematuhan menunjukkan peningkatan ketara daripada 96% (34,134 premis) pada tahun 2022 kepada 99% (35,201 premis) dan kekal pada kadar tersebut sehingga tahun 2024.
Kementerian melalui JAS komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua premis yang tertakluk sentiasa mematuhi Akta 127 serta peraturan-peraturan di bawahnya.
Sekian, terima kasih.