Soalan (a)
Tuan Yang di-Pertua,
Berdasarkan peningkatan e-waste yang dijana setiap tahun daripada industri dan juga isi rumah, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu ini. Sehubungan itu, sehingga tahun 2025 JAS telah melesenkan sebanyak dua puluh satu (21) premis Full Recovery dan seratus tujuh (107) Partial Recovery bagi menjalankan aktiviti pemerolehan kembali e-waste di seluruh Negara.
Dasar Negara adalah tidak membenarkan sebarang pengimportan e-waste ke Malaysia sama ada untuk tujuan pelupusan atau kitar semula dalam usaha memastikan bahawa Malaysia tidak dijadikan sebagai destinasi lambakan sisa elektrik dan elektronik dari negara lain. Selaras dengan komitmen terhadap Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya, Malaysia telah menetapkan polisi pengimportan dan pengeksportan buangan terjadual termasuk e-waste adalah sepertimana berikut:
Pengimportan dan pengeksportan buangan terjadual termasuk e-waste bagi tujuan pelupusan adalah dilarang; dan
Pengimportan buangan terjadual termasuk e-waste oleh kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual adalah tidak dibenarkan. Kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual dilesenkan bagi tujuan mengurus dan memproses buangan terjadual yang dihasilkan di dalam negara sahaja.
Bagi memastikan pematuhan, mana-mana pihak yang berminat untuk menjalankan pemerolehan kembali luar tapak, maka berikut adalah keperluan yang perlu dipatuhi bagi memastikan aktiviti ini tidak menjadi punca pencemaran alam sekitar:
Mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) di bawah Seksyen 34A, AKAS 1974;
Mempunyai lesen di bawah Seksyen 18, AKAS 1974; dan
Mendapat kebenaran bertulis di bawah Seksyen 19, AKAS 1974.
Selain itu, JAS juga bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu masuk utama Negara bagi menghalang kemasukan e-waste ke dalam Malaysia.
Soalan (b)
Aktiviti pemerolehan kembali e-waste adalah satu inisiatif yang baik seiring dengan konsep ‘Ekonomi Kitaran’ bagi mengurangkan sisa dibuang ke alam sekitar dan seterusnya dapat mengurangkan impak pencemaran. Selain itu, ia juga boleh menjana pendapatan kepada industri dan juga kepada Negara khususnya.
Mekanisme pengurusan e-waste menerapkan konsep Extended Producer Responsibility (EPR) dan shared responsibility dengan semua pihak berkepentingan seperti pengilang/ pengimport, pengeluar buangan/ pengguna, pusat pengumpulan dan kemudahan pemerolehan kembali adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam memastikan pelaksanaan mekanisme yang holistik dan lestari.
NRES melalui JAS dengan bantuan teknikal oleh Kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) telah membangunkan Mekanisme Pengurusan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) dari isi rumah di Malaysia. Kajian bermula pada 20 April 2010 dan telah tamat pada 13 September 2024.
Di bawah Mekanisme Pengurusan E-Waste ini, satu kerangka perundangan khusus (peraturan) telah dibangunkan bertujuan untuk mengawal pengurusan, pengendalian dan pelupusan buangan elektrik dan elektronik. Draf peraturan ini mengambil kira dari mula peralatan elektrik dan elektronik ditempatkan di pasaran (put on market) sehingga dilupuskan sebagai e-waste.
Kerangka perundangan yang dibangunkan memberi penekanan kepada enam (6) jenis e-waste utama yang dikategorikan sebagai item kawalan iaitu televisyen, peti sejuk, pendingin hawa, mesin basuh, komputer peribadi dan telefon bimbit.
Pada ketika ini, JAS masih lagi menjalankan kajian serta mendapatkan maklum balas orang awam berkaitan pelaksanaan EPR di bawah Mekanisme Pengurusan E-Waste di Malaysia dan akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Sekian, terima kasih.