Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 09 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 8 | Soalan | Puan Young Syefura binti Othman [ Bentong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan terdapat 156 kilang pemprosesan sisa elektronik di seluruh negara untuk memproses bahan sisa elektronik dari dalam negara. Apakah Kementerian turut berhasrat untuk memperluas kilang pemprosesan berlesen bagi sisa elektronik dari luar negara dalam menangani aktiviti penyeludupan yang merugikan negara.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
E-waste atau sisa elektrik dan elektronik adalah dikelaskan di bawah kod SW 110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
E-waste mengandungi bahan toksik seperti plumbum, merkuri dan kadmium yang boleh mencemarkan tanah, air dan udara serta memberi kesan serius kepada kesihatan manusia jika tidak diurus dengan baik. Oleh itu, e-waste perlu diproses melalui kaedah rawatan yang sesuai dan baki sisa perlu dilupuskan di tapak pelupusan selamat bagi memastikan keselamatan alam sekitar dan kesihatan awam terpelihara.
Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2025 terdapat dua puluh satu (21) premis yang dilesenkan bagi menjalankan aktiviti Full Recovery E-Waste manakala sebanyak seratus tujuh (107) premis yang dilesenkan bagi menjalankan aktiviti Partial Recovery E-Waste di seluruh negara. Kesemua 128 premis yang dilesenkan ini hanya memproses sisa e-waste yang dihasilkan di dalam Negara sahaja.
Pada ketika ini, kebanyakan negara di ASEAN melarang pengimportan e-waste secara tegas seperti Negara Thailand, Vietnam atau mempunyai pengecualian terhad seperti Indonesia. Dasar Malaysia tidak membenarkan kemasukan sisa elektrik dan elektronik untuk diproses di Malaysia adalah selari dengan Negara-Negara lain di ASEAN.
Kementerian tegas untuk tidak membenarkan Malaysia dijadikan tempat untuk mengurus dan melupuskan e-waste dari luar Negara.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|