Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 46 | Soalan | Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah yang diambil untuk menyelesaikan pencemaran asap di Taman Sepadu Jaya, Taman Tasek Gelugor Utama dan sekitarnya kerana penduduk di sini menghadapi masalah berganda akibat masalah pencemaran kandang babi yang masih belum diselesaikan lagi dan sekarang masalah asap pula.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Hasil daripada siasatan dan pemantauan yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati isu pencemaran udara yang berlaku di Taman Sepadu Jaya, Pulau Pinang adalah disebabkan oleh pelepasan asap daripada cerobong kilang yang menghasilkan produk makanan iaitu Hong Soon Frozen Sdn. Bhd. yang beroperasi berhampiran Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Siasatan susulan telah dijalankan dan mendapati terdapat satu premis menggunakan satu (1) unit boiler sebagai alat pembakaran bahan api yang dilengkapi dengan dua (2) unit multi siklon sebagai Alat Kawalan Pencemaran Udara, namun alat pengukuran ketumpatan asap (Smoke Density Meter) tidak berfungsi serta gagal menjalankan percontohan cerobong (stack sampling) bagi pemantauan pelepasan.
Arahan serta merta telah dikeluarkan kepada pihak premis untuk mengemukakan Pengisytiharan Bertulis bagi satu (1) unit boiler, dua (2) unit multi siklon dan satu (1) unit cerobong dan seterusnya mematuhi had pelepasan iaitu tidak melebihi 20% apabila diukur dengan transmissometer. Pihak premis juga perlu menjalankan pemantauan berkala iaitu percontohan cerobong bagi memastikan pelepasan mematuhi had yang ditetapkan. Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan kepada pihak premis pada 25 September 2025.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengambil serius aduan yang dikemukakan oleh orang awam dan sentiasa berusaha menyelesaikan isu pencemaran udara di seluruh Negara. Langkah-langkah proaktif yang diambil melalui JAS adalah merangkumi aspek perundangan, penguatkuasaan, pemantauan dan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti berikut:
melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di mana-mana premis yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya; menjalankan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berkala, terutamanya ke atas premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran; melaksanakan operasi bersepadu dengan pelbagai Agensi Kerajaan lain bagi membendung kes-kes pencemaran; dan menggalakkan orang awam untuk melaporkan sebarang kes pencemaran kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Sistem e-Aduan dalam talian di https://eaduan.doe.gov.my.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|