Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 October 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 41 | Soalan | Tuan Riduan bin Rubin [ Tenom ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah strategi komprehensif Kementerian mengurus risiko tanah runtuh di Sabah khususnya Tenom termasuk pengenalpastian lokasi berisiko melalui pemetaan GIS, pemantauan berterusan dengan sensor geoteknikal dan mitigasi bersepadu bagi melindungi komuniti, infrastruktur dan kesinambungan pembangunan sosioekonomi.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
1. Ketika ini belum terdapat projek khusus berkaitan cerun atau kajian geologi kejuruteraan dan tanah runtuh yang dijalankan oleh Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di daerah Tenom. Walau bagaimanapun, JMG telah melaksanakan beberapa projek utama berkaitan pengurusan risiko tanah runtuh di kawasan lain di Sabah, antaranya: Pemetaan geologi terain telah dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kundasang, Ranau, Tambunan, Lahad Datu dan Sandakan untuk menilai kestabilan cerun serta kesesuaian pembangunan; Projek Penilaian Bahaya Risiko Cerun (PBRC) telah dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kundasang dan Sandakan untuk mengenal pasti cerun berisiko tinggi serta menyediakan asas kepada cadangan langkah mitigasi; Projek Pemantauan Pergerakan Tanah sedang dilaksanakan di Kundasang, Ranau, melibatkan pemasangan sensor geoteknikal masa nyata bagi mengesan pergerakan cerun dan menyokong pembangunan sistem amaran awal tanah runtuh; Sistem Amaran Awal (EWS) aliran puing sedang dilaksanakan di sekitar kawasan Gunung Kinabalu, khususnya di lembangan Sungai Kedamaian dan Sungai Mesilou, bagi mengesan aliran puing (debris flow) yang boleh mengancam keselamatan penduduk dan pelancong.
Semua data yang diperolehi disepadukan ke dalam sistem geospatial NaTSIS dan MyGEMS bagi memberikan sokongan teknikal kepada agensi pelaksana serta pihak berkuasa tempatan dalam membuat keputusan pembangunan dan mitigasi.
Tumpuan kajian JMG yang dilaksanakan sehingga kini adalah di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, perbukitan curam serta dilintasi oleh sesar aktif. Justeru, daerah Tenom belum diberi keutamaan dalam fasa terdahulu. Namun demikian, Kementerian akan mempertimbangkan peluasan projek pemetaan cerun, pemantauan cerun dan PBRC serta sistem amaran awal ke daerah pedalaman termasuk Tenom secara berfasa mengikut tahap risiko bencana geologi dan keperluan keselamatan komuniti, demi melindungi kesinambungan pembangunan sosioekonomi.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|